Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Sunday, July 22, 2012

Special Talk By Prof Tariq Ramadan

Assalamualaikum..
Bagi yang tidak berkesempatan mengikuti Talk dari Prof Tariq Ramadan UIAM bertajuk "In The Footsteps of the Prophet ; How Muslims Should Contribute to the World" baru-baru ini, jangan bersedih hati, ayuh ambil sedikit masa pagi ini untuk menonton video rakaman penuh beliau ini, selamat menonton..

Special talk by Prof Tariq Ramadan entitle "In The Footsteps of the Prophet ; How Muslims Should Contribute to the World" .

Organized by One Heart Creative Solution.
Venue : CAC, IIUM, Kuala Lumpur
Date : 16th July 2012






Read More..

Saturday, June 23, 2012

Tujuh Faktor Kenapa Penyakit Hasad Dengki Menguasai Diri Manusia

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hasad dengki adalah satu sifat mazmumah yang dibenci oleh Allah S.W.T. Sesiapa yang ada sifat ini sebenarnya ia tidak meredai ketentuan Allah S.W.T yang telah dikurniakan sesuatu kelebihan atau nikmat kepada seseorang dikalangan hamba-hamba-Nya.

Terdapat tiga ciri sekiranya ada pada diri seseorang ia mempunyai penyakit hasad dengki.

1. Iaitu menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah kepadanya.

2. Seseorang yang bersifat dengki tidak ingin melihat orang lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang lain menyerupai atau lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik. Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang kepada Allah subhanahu wata‘ala kerana mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain.

3. Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana dan kerosakan.


Di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali ada disimpulkan tujuh faktor yang menimbulkan perasaan hasad dengki tersebut.

Antara lain :-

1) Perasaan Permusuhan dan Kebencian

2) Merasa Diri Mulia

3) Takabbur

4) Ujub

5) Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan

6) Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti

7) Busuk Hati.

Huraian faktor-faktor tersebut adalah seperti berikut.



PERASAAN PERMUSUHAN DAN KEBENCIAN


Ini adalah sebab yang paling banyak menimbulkan kedengkian. Kerana sesiapa yang disakiti oleh seseorang lain atas sebab-sebab tertentu atau menyangkalnya dalam tujuan-tujuan tertentu lantaran alasan-alasan tertentu, hatinya pasti marah lalu membenci orang yang menyakitinya itu, maka tertanamlah bibit dengki dalam dirinya. Dengki mengundang perlakuan yang agresif untuk memuaskan hatinya.

Pendekkata perasaan hasad dengki sentiasa bergandingan dengan perasaan marah dan permusuhan. Semua manusia pada dasarnya memiliki sifat marah, kerana marah adalah salah satu tabiat manusia. maka agama tidak melarang marah, tetapi kita diperintahkan untuk dapat mengendalikan marah dan senantiasa menjadi pema’af.

Fiirman Allah s.w.t yang bermaksud : “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh”
(Surah Al-A'raaf ayat 199)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)


MERASA DIRI MULIA


Perasaan ini manifestasinya ialah seseorang itu merasa keberatan kalau ada sesiapa yang dianggapnya mengatasi dirinya. Dia tidak rela kalau ada orang lain melebihinya. Kalau ada orang –orang sepertinya yang mendapat lebih pangkat, kuasa, ilmu dan harta, dia bimbang kalau-kalau orang tersebut akan bersikap sombong terhadapnya. Dia tidak boleh tahan dengan sikap mengatasi yang ditunjukkan oleh saingannya itu. Malah dia tidak boleh menerima apa yang dirasakannya sebagai sikap mengatasinya.


TAKABBUR


Jelasnya seorang itu mempunyai watak membesarkan diri terhadap orang lain, selalu memperkecilkan dan mempergunakan seseorang untuk kepentingan dirinya. Ia menganggarkan seseorang itu mematuhinya. Apabila orang berkenaan menerima atau memperolehi sesuatu kurnia ia khuatir kalau-kalau orang itu tidak lagi merelakan diri untuk mengikut arahannya. Akhirnya orang yang telah mendapat kurnia tersebut akan enggan mengikutinya, atau boleh jadi ia menganggap orang tersebut akan cuba pula menyainginya.

Allah S.W.T. berfirman (di dalam Hadis Qudsi) : "Kesombongan adalah selendangKu dan kebesaran adalah sarungKu. Maka barang siapa menyamai-Ku salah satu dari keduanya, maka pasti Kulemparkan ia ke dalam Jahannam dan tidak akan Kupedulikan lagi."

Apabila kita meneliti maksud hadis ini, ia dengan jelas menyatakan bahawa kesombongan dan kebesaran itu hanya milik Allah s.w.t. semata-mata, tetapi bagaimanakah perasaan ini masih boleh timbul di dalam hati manusia?

Sebenarnya, perasaan sombong atau takabbur boleh berlaku apabila timbulnya suatu pandangan terhadap orang lain dengan pandangan yang kecil dan hina.


UJUB (BANGGA DIRI)


Terdapat tiga ciri-ciri ujub iaitu :

a. Iaitu merasai atau menyangkakan dirinya lebih sempurna.

b. Orang yang bersifat ‘ujub adalah orang yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa dia adalah seorang yang lebih sempurna dari segi pelajarannya, amalannya, kekayaannya atau sebagainya dan ia menyangka bahawa orang lain tidak berupaya melakukan sebagaimana yang dia lakukan.

c. Dengan itu, maka timbullah perasaan menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa bahawa tiap-tiap sesuatu itu ada kelebihannya.

Pernah Allah Subhanahu Wata’ala jelaskan kepada kita perihal umat-umat di zaman silam. Mereka merasa takjub dengan diri mereka sendiri. Hal ini menghalang mereka menurut kebenaran. Hujjah mereka selalunya ialah seperti yang tertera di dalam Al-Quran :-

“Bukankah kamu tak lebih dari manusia(biasa) seperti kami juga?”

Dan ungkapan yang berbunyi: “Dan mereka berkata adakah wajar kami mempercayai manusia yang seperti kami juga?”

Golongan tersebut merasa aneh melihat orang yang berjaya mendapat pangkat kerasulan, menerima wahyu dan martabat yang dekat di sisi Allah Subhanuahu Wata’ala ialah manusia seperti mereka. Sebab itu mereka menaruh rasa dengki kepada Rasul-Rasul tersebut.


TAKUT TERLEPAS SESUATU TUJUAN DAN HABUAN


Biasanya perasaan ini wujud dalam kalangan orang yang saling berlumba-lumba merebut sesuatu habuan. Tiap orang akan merasa dengki kepada saingannya apabila saingannya mendapat suatu kelebihan yang boleh membantu dirinya sahaja membolot habuan yang menjadi tujuan mereka tadi.


GHAIRAH MENJADI KETUA DAN MENCARI POPULARITI


Umpamanya seseorang yang bercita-cita untuk menjadi manusia pertama yang tidak ada tolok bandingnya dalam salah satu cabang seni. Apabila keghairahan terhadap pujian dan jolokan – bahawa dialah satu-satunya pakar yang tidak ada taranya di zaman itu – telah menguasai dirinya, tiba-tiba dia mendengar ada orang lain yang dapat menandinginya di tempat lain. Hal ini nescaya akan menyusahkan hati perutnya. Ia bercita-cita kalau tandinganya itu mati sahaja atau kemahirannya menurun dan pupus.


BUSUSK HATI


Keadaan ini kalau ada pada seseorang maka ia akan bersikap tidak suka sesuatu kebaikan diperolehi oleh hamba Allah yang lain. Apabila disebutkan dihadapannya tentang kesenangan mana-mana hamba Allah, sempit hatinya mendengar perihal tersebut. Akan tetapi apabila dinyatakan pula sebaliknya, umpama tentang kesusahan, kegagalan dan nasib malang menimpa orang lain maka ia merasa gembira dan suka hati.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita buangkan sifat hasad dengki ini samaada di dalam hati atau di dalam tindakkan dan amalan kita. Sifat yang keji ini bukan saja mendapat kebencian manusia tetapi yang paling penting sifat ini di benci oleh Allah S.W.T. Hidup di dunia ini adalah sementara dan kehidupan di hari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi maka tinggalkanlah sifat hasad dengki ini kerana sesiapa yang menuruti sifat ini dia sedang mengikut hawa nafsunya dan mengikut bisikan syaiatan dan akan mendapat azab seksaan dihari akhirat nanti.






Read More..

Friday, April 13, 2012

5 Bekalan Isteri Seorang Aktivis Dakwah


Assalamualaikum..
Sekadar perkongsian yang mungkin boleh menjadi panduan buat sebuah keluarga 'Aktivis Dakwah'. artikel asal boleh lah dirujuk di www.dakwatuna.com (link asal kepada artikel ini boleh dirujuk di bawah selepas artikel). Artikel ini asalnya berbahasa indonesia dan telah diolah semula ke dalam bahasa melayu, moga perkongsian ini dapat memberi sedikit peringatan dan panduan. Selamat membaca.

********************************************************************


Seorang aktivis dakwah memerlukan isteri yang ‘luar biasa’. Kenapa? Kerana mereka tidak hanya memerlukan isteri yang pandai merawat tubuh, pandai memasak, pandai mengurus rumah, pandai mengelola kewangan, berketerampilan dalam hal-hal seperti urusan kerumah-tanggaan dan piawai di tempat tidur. Maaf, tanpa bermaksud mengecilkan, berbagai kepandaian dan ketrampilan itu adalah bekalan ‘standard’ yang memang harus dimiliki oleh seorang isteri, tanpa memandang apakah suaminya seorang aktivis atau bukan. Atau dengan maksud lain, seorang perempuan dikatakan siap untuk bernikah dan menjadi seorang isteri jika dia memiliki berbagai bekalan yang standard itu. Lalu bagaimana jika sudah menjadi isteri, tapi tidak mempunyai bekalan itu? Ya, jangan hanya diam, belajar sahaja. Istilah terkenal yg biasa digunakan ialah learning by doing.

Kembali kepada pokok bahasan kita. Menjadi isteri aktivis bererti bersedia untuk mempelajari dan memiliki bekalan ‘di atas standard’. Macam mana? Berikut ini adalah bekalan yang diperlukan oleh isteri aktivis atau yang ingin menikahi aktivis dakwah:



1. Bekalan Yang Bersifat Pemahaman (fikrah).
Hal penting yang harus dipahami oleh isteri seorang aktivis dakwah, bahawa suaminya tak sama dengan ‘model’ suami pada umumnya. Seorang aktivis dakwah adalah orang yang mempersembahkan waktunya, gerak amalnya, getar hatinya, dan seluruh hidupnya demi tegaknya dakwah Islam dalam rangka meraih redha Allah. Mendampingi seorang aktivis adalah mendampingi seorang perajurit Allah. Tak ada yang dicintai seorang aktivis dakwah melebihi cintanya kepada Allah, Rasul, dan berjihad di jalan-Nya. Jadi, siapkan dan ikhlaskan diri kita untuk menjadi cinta ‘kedua’ bagi suami kita, kerana cinta pertamanya adalah untuk dakwah dan jihad!



2. Bekalan Yang Bersifat Ruhiyah.
Berusahalah untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Jadikan hanya Dia tempat bergantung semua harapan. Miliki keyakinan bahwa ada Kehendak, Qadha, dan Qadar Allah yang berlaku dan pasti terjadi, sehingga tak perlu takut atau khawatir melepaskan suami pergi berdakwah ke manapun. Miliki keyakinan bahwa Dialah Sang Pemilik dan Pemberi Rezeki, yang berkuasa melapangkan dan menyempitkan rezeki bagi siapa yang Dia kehendaki. Bekalan ini akan sangat membantu kita untuk bersikap ikhlas dan qana’ah ketika harus menjalani hidup bersahaja tanpa limpahan material. Dan tetap sedar diri, tak menjadi takabur dan lalai ketika Dia melapangkan rezeki-Nya untuk kita.



3. Bekalan Yang bersifat Ma’nawiyah (mentaliti).
Inilah di antara bekalan berupa sikap mental yang diperlukan untuk menjadi isteri seorang aktivis: kuat, tegar, gigih, kukuh, sabar, tidak manja (kecuali dalam batasan tertentu) dan mandiri. Teman saya mengistilahkan semua sikap mental ini dengan ungkapan yang singkat: tahan banting!



4. Bekalan Yang bersifat Aqliyah (intelektualiti).
Ternyata, seorang aktivis tidak hanya memerlukan pendengar setia. Ia memerlukan isteri yang bersedia untuk diajak bicara, bertukar fikiran, musyawarah, atau diskusi tentang kesibukan dan minatnya. Kerana itu, banyakanlah membaca, rajin mendatangi majlis-majlis ilmu supaya tidak kekok!



5. Bekalan Yang Bersifat Jasadiyah (fizikal).
Sekurang-kurangnya sihat, bugar, dan tidak sakit. Jika fizikal kita sihat, kita mampu melakukan banyak hal, termasuk menguruskan suami yang sibuk berdakwah. Kerana itu, penting bagi kita untuk menjaga kesihatan, membiasakan pola hidup sihat, rajin bersukan atau riadah dan lain-lain. Selain itu, jangan dilupakan masalah merawat wajah dan tubuh. Ingatlah, salah satu ciri isteri solehah adalah ‘menyenangkan ketika dipandang’.

Akhirnya, ada bekalan yang lain yang tidak kurang pentingnya. Itulah sikap mudah memaafkan. Bagaimanapun soleh dan takwanya seorang aktivis, tak akan mengubah dia menjadi malaikat yang tak punya kesalahan. Seorang aktivis dakwah tetaplah manusia biasa yang mampu dan mungkin untuk melakukan kesalahan. Bukankah tidak ada yang ma’shum di dunia ini selain Baginda Rasulullah?



Read More..

Saturday, April 7, 2012

PILIH SAHABAT


Apabila kita mahu memilih sahabat untuk menemani kita dalam menuntut ilmu atau untuk pekerjaan agama dan dunia atau teman bermusafir, hendaklah kita memelihara dan memilih ciri-ciri seperti berikut:

(1) Orang yang sempurna akalnya.Maka tiada faedahnya kita bersahabat dengan orang yang kurang akalnya kerana pada akhirnya membawa kepada perkelahian dan menyakiti hati.Musuh yang berakal terlebih baik dari taulan yang bodoh.

(2) Orang yang baik akhlak kelakuan dan budi perangainya.Maka janganlah bersahabat dengan orang yang buruk akhlak perangainya iaitulah orang yang tidak dapat mengawal marah dan nafsu mazmumahnya.

(3) Orang yang soleh. Maka jauhkan bersahabat dengan orang fasiq yang sentiasa melakukan dosa kerana kita takkan terlepas dari kejahatannya.

(4) Orang yang tidak cintakan dunia. Kerana bersahabat dengan orang yang sangat cintakan dunia (materialistik) itu seperti racun yang membunuh diri kita.

(5) Orang yang siddiq (benar) pada segala perkataan dan perbuatannya.Bukan cakap tak serupa cakap kerana berdusta itu antara ciri-ciri orang munafiq.



KATEGORI SAHABAT

Ketahuilah bahawasanya sahabat itu tiga kategori:

(1) Umpama makanan yang tak dapat tidak kita memerlukannya setiap waktu.

(2) Umpama ubat yang diperlukan ketika sakit dan tidak diperlukan ketika sihat.

(3) Umpama penyakit yang kita tidak memerlukannya sekali-kali bahkan kita perlu menjauhinya



Rujukan kitab Hidayatus-Salikin karangan Syeikh Abdu Somad Al-Palembangi



Read More..

Wednesday, February 15, 2012

Alhamdulillah : Kalimah Syukur Yang Dilupakan






"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: 'Demi sesungguhnya. Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". 
(Surah Ibrahim 14:7). 

Segala Puji Bagi Allah

Alhamdulillah, satu kalimah penuh dengan pujian dari seorang hamba kepada penciptaNya. Bermulanya syukur kita adalah dari bermulanya penciptaan kita sepertimana dirakamkan Allah dalam firmanNya:



Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.
(Surah Al-Mukminun 23:14)
Saat terbentuknya sebuku darah itu sehinggalah terbentuknya makhluk yang di panggil dengan berbagai gelaran, manusia, insan, hamba dan segalanya yang selayaknya disisi Penciptanya, maka terhutanglah kita dengan kalimah keramat ini. Biarpun ringkas namun besar pada Penciptanya.

Ringkas Namun Besar

Kalimah Alhamdulillah, kalimah yang mudah dan ringkas ini sebenarnya membawa makna yang besar kepada sesiapa yang melafazkannya. Kalimah ini adalah manifestasi perasaan yang diluahkan manusia sebagai kemuncak menghargai sesuatu yang diterima. Dengan kalimah ringkas ini juga lah Allah memberikan khabar gembira buat mereka yang bersyukur melalui firmanNya :



Mengapa Allah akan menyiksamu, jika kamu bersyukur dan beriman? Dan Allah adalah Maha Mensyukuri lagi Maha Mengetahui.
(Surah An-Nisa 4:147)
dan juga dirakam dalam Surah Ibrahim ayat 7 seperti mana telah dinyatakan pada permulaan penulisan ini. Namun tidak ramai yang tunduk dan sujud tanda bersyukur kepadaNya.

Kalimah Syukur Yang Dilupakan

Dirakamkan dalam firmanNya juga bahawa ramai diantara kita yang tidak bersyukur seperti mana fimanNya:



Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber) penghidupan. Amat sedikitlah kamu bersyukur.
(Surah Al-A'raf 7:10)
Hakikatnya Allah lebih mengetahui hikmah kejadian setiap makhlukNya. HambaNya sering lupa bahawa segala nikmat yang mereka miliki hanyalah kurniaan yang dipinjamkan buat sementara waktu samada untuk menguji atau memberi ganjaran atas perbuatan mereka di dunia. Nikmat dunia mahupun ujian yang ditimpakan dan diberikan pada kita seharusnya didahului dengan sifat syukur, kerana semuanya penuh hikmah dan misteri dari Allah.

Sibuk Berterima Kasih Pada Manusia

Kealpaan dan kelalaian ini lah yang membuatkan kita terlupa akan tanggungjawab bersyukur pada Allah, walhal kita sibuk berterima kasih pada manusia, sedangkan manusia ini juga diberi pinjaman yang sama oleh Allah. 

Dahului Alhamdulillah

Manusia begitu buta apabila tiba soal meletakkan yang mana perkara utama dan yang mana perkara kedua. Hasilnya manusia meletakkan perkara yang dilihat zahir padanya sebagai keutamaan, sedangkan iman dan keyakinannya terletak pada Penciptanya. Setiap perkara yang diterima seharusnya didahuului dengan ucapan Alhamdulillah tanda berterima kasih dan syukur pada penciptanya, kemudian barulah makhluk lain layak menerima tanda terima kasih kita.

Kesimpulannya 

Disini dapatlah dikatakan bahawa sikap syukur itu lebih merupakan suatu tindakbalas seorang hamba ketika diberikan suatu nikmat oleh Allah SWT atau mendapat berita yang menggembirakan atau terhindar dari bahaya kepada suatu amalan yang sifatnya ketaatan kepada Allah.



Bacaan Tambahan

Hakikat Syukur

Secara bahasa, syukur bermakna “terima kasih”. Dan kita boleh mendefinisikan syukur secara istilah dengan “mengakui nikmat yang telah diberikan kepada kita lalu menggunakan nikmat itu sesuai dengan fungsinya”. Imam Al-Ghazali menjelaskan bahwa hakikat syukur terdiri dari tiga bahagian: ilmu, hal (perasaan hati) dan amal perbuatan. Ia berkata, “Ilmu adalah tunjangnya. Ia lalu melahirkan hal, dan hal melahirkan amal.”[1]
Kita akan membicarakan setiap rukun syukur ini secara terperinci.


Ilmu

Ilmu yang dimaksudkan disini adalah menyedari nikmat yang dimiliki sambil mengetahui pihak yang telah memberikan nikmat itu. Kesedaran itu dapat diperoleh dengan cara memperhatikan keseluruhan nikmat yang telah Allah berikan kepada kita sepertinikmat penglihatan, nikmat pendengaran, nikmat sihat, nikmat harta dan nikmat-nikmat lainnya. Semakin kita memikirkan nikmat-nikmat yang terdapat dalam diri, kita semakin mendapati banyak sekali anugerah yang telah Allah berikan kepada kita. “Jika kamu hendak menghitung semua nikmat Allah, kamu tidak akan mampu menghitung semuanya.” 

Kebanyakan manusia tidak mampu menyedari nikmat Allah Swt sebelum nikmat itu hilang dari dirinya. Nikmat sihat misalnya jarang sekali disedari sebelum seseorang jatuh sakit. Padahal sebuah nikmat yang telah hilang dari seseorang jarang sekali dapat diperoleh kembali. Oleh karena itu, para ulama menganjurkan agar seseorang membayangkan kehilangan nikmat yang ia miliki supaya ia menyedari nikmat itu dan mensyukurinya sebelum nikmat itu benar-benar hilang dari dirinya dan tidak pernah kembali.

Seorang fakir miskin pernah mengeluhkan kesulitan hidupnya kepada seorang ulama sambil menunjukkan kesedihan hatinya. Ulama itu bertanya, “Berapakah wang yang engkau perlukan?” Ia menjawab, “Sepuluh ribu.” “Mahukah kamu memiliki wang sepuluh ribu namun matamu hilang?” tanya ulama itu. Si fakir menjawab, “Tidak mahu.” Ulama itu berkata lagi, “Mahukah kamu memiliki wang sepuluh ribu namun lidahmu bisu?” ia menjawab, “Tidak mahu.” “Mahukah kamu memiliki wang sepuluh ribu namun kaki dan tanganmu terputus?” Sekali lagi orang itu menjawab, “Saya tidak mahu.” Ulama yang bijak itu lalu berkata, “Nah, kamu memiliki sesuatu yang lebih berharga dari wang tiga puluh ribu, tapi mengapa kamu masih bersedih?”

Untuk melahirkan kesedaran nikmat dan membiasakan hidup penuh kesyukuran, Nabi Saw menganjurkan kita agar melihat kepada orang yang kurang beruntung dari kita. Beliau bersabda:

انظروا إلى من هو أسفل منكم ولا تنظروا إلى من هو هو فوقكم فهو أجدر أن لا تزدروا نعمة الله
“Lihatlah kepada orang yang lebih rendah dari kamu, dan janganlah melihat kepada orang yang lebih tinggi dari kamu, sebab itu lebih baik agar kamu tidak meremehkan nikmat Allah.”[2]


Atas dasar hadith ini, para ulama akhlak menganjurkan agar seseorang mengunjungi rumah sakit (hospital), rumah tahanan, dan tanah perkuburan. Sebab di rumah sakit kita akan belajar mensyukuri nikmat sehat ketika melihat pesakit-pesakit yang menghidap penyakit yang bermacam-macam. Di rumah tahanan kita akan belajar mensyukuri nikmat kebebasan dan nama baik. Dan di tanah perkuburan kita akan mensyukuri nikmat kehidupan dan kesempatan untuk menambah pahala.[3] 


Hal

Setelah seseorang menyedari nikmat-nikmat yang terdapat di dalam dirinya, secara tersendirinya ia akan merasakan di dalam hatinya perasaan beruntung, gembira dan suka cita. Perasaan inilah yang disebut dengan hal.


Amal

Kesedaran nikmat -yang kita namakan dengan “ilmu”- dan perasaan beruntung -yang kita sebut “hal”- ini akan mendorong seseorang melahirkan perbuatan yang kita namakan dengan “amal”. Perbuatan syukur itu terbahagi kepada tiga bahagian: 


(i) bersyukur dengan hati, 
(ii) bersyukur dengan lidah dan 
(iii) bersyukur dengan anggota badan.


Bersyukur dengan hati dengan cara menerbitkan niat untuk berbuat baik. Bersyukur dengan lidah dengan mengucapkan pujian kepada Allah seperti “Alhamdulillah”. Dan bersyukur dengan anggota badan ialah dengan cara menggunakan nikmat yang telah Allah berikan untuk beribadah sesuai dengan fungsinya.
Mensyukuri nikmat mata misalnya adalah dengan cara menyedari pemberian Allah yang sangat berharga ini di dalam hatinya. Lalu mengucapkan “alhamdulillah”. Selanjutnya menggunakan mata untuk sesuatu yang seiring dengan perintah Allah seperti membaca Al-Qur’an, belajar, mengkaji makhluk ciptaan Allah dan sebagainya. Jika ia menggunakan mata ini untuk melakukan maksiat, maka ia dinilai tidak mensyukuri nikmat Allah.


Akhlak Syukur Rasululah Saw

Rasulullah Saw adalah makhluk Allah yang paling banyak menerima nikmat dari Tuhannya. Baginda manusia yang paling sempurna fizikalnya, juga akhlaknya, ditambah lagi dengan nikmat kenabian, bahkan beliau juga adalah nabi terakhir yang menutup semua nabi. Allah Saw pernah mengingatkan:

وأنزل الله عليك الكتاب والحكمة وعلمك ما لم تكن تعلم وكان فضل الله عليك عظيماً
“Dan Allah telah menurunkan Al-Kitab dan hikmat kepadamu, juga mengajarkanmu sesuatu yang tidak pernah engkau ketahui. Sesungguhnya nikmat Allah kepadamu sungguh besar.” 
(Al-Nisa: 113).

Rasululah Saw menyedari nikmat-nikmat yang Allah berikan kepadanya sehingga beliau berusaha mensyukurinya dengan sekuat tenaga. Siti Aisyah, isteri Nabi Saw, bercerita bahawa Rasulullah Saw selalu melakukan solat di tengah malam ketika semua orang tertidur. Beliau berdiri berjam-jam hingga bengkak-bengkak kakinya. Aisyah lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, mengapa anda melakukan hal ini padahal Allah telah mengampuni dosamu yang terdahulu dan yang akan datang?” Rasulullah Saw menjawab, “Tidakkah aku harus menjadi hamba-Nya yang bersyukur?”[4]


[1] “Ihya Ulum al-Din” 4/79.
[2] Hadits shahih riwayat Al-Bukhari, Muslim dan Al-Tirmidzi.
[3] “Ihya Ulum Al-Din” 4/123.
[4] Hadits shahih riwayat Al-Bukhari.


Sumber : http://profesionaltahfiz.blogspot.com/2011/06/sifat-syukur.html


Read More..
 
Copyright 2011 @ Rintihan Seorang Hamba!
Setiap artikel yang tersiar di sini dihasilkan untuk tujuan dakwah dan bersifat semasa. Powered by Blogger.
Design by Muhammad Syukri | Bloggerized by Rintihan Seorang Hamba | Powered by Blogger
;