Tuesday, July 8, 2008

Ahlan wa sahlan…

Assalamualaikum. Bersyukur kehadrat Ilahi kerana masih dikurniakan penghidupan semula pada hari ini, nikmat kesihatan dan nikmat kelapangan untuk ana menulis sekali lagi. Kehidupan sentiasa perlu masih diteruskan selagi ada roh didalam jasad diri kita. Oleh itu kita perlulah sentiasa bersyukur kepada-Nya.

Ahlan wa sahlan… adalah perkataan popular yang sering akan kedengaran, tertulis atau tercatat dimana-mana bagi menyambut tetamu baru. Rata-rata IPTA pada minggu lepas menyambut kedatangan pelajar baru bagi sesi 08/09. Pelajar-pelajar ini adalah dikalangan pelajar-pelajar yang terpilih dari seluruh sekolah-sekolah di Malaysia.

Pada post kali ana cukup tertarik untuk menulis berkaitan kemasukan pelajar-pelajar baru, ini kerana ana ingin menyingkap atau berkongsi pengalaman ana bersama-sama pelajar baru ini. Selain itu ada peristiwa-peristiwa yang akan membuatkan ana terfikir kembali tentang sesuatu yang berkaitan minggu pertama melanggkahkan kaki ke alam universiti.

Mana-mana pelajar yang memasuki atau mendaftar secara tidak langsung akan melalui Minggu Orientasi(MO) atau Minggu Haluan Siswa(MHS) seperti mana yang telah ana lalui sebelum ini. MO atau MHS ini adalah bertujuan membantu pelajar-pelajar baru untuk menyesuiakan diri dengan keadaan sekeliling tempat belajar baru mereka, disamping dibantu oleh ahli jawatankuasa orientasi(JKO) bagi menyediakan diri mereka sebelum bermulanya kuliah sebenar. Selain itu, MO dan MHS ini juga memberi ruang kepada pelajar-pelajar yang pertama kali berjauhan dengan keluarga untuk menyesuaikan diri dengan keluarga baru iaitu rakan-rakan.

Selalunya minggu orientasi ini akan diisi dengan program-program yang akan membina atau meniupkan semangat baru kepada mahasiwa/i untuk meneruskan proses pembelajaran mereka. Selain itu MO atau MHS ini juga juga akan diisi dengan program-program yang membentuk akhlak pelajar seperti ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah agama. Ini bertujuan untuk mengelakkan kejutan budaya atau dalam bahasa inggerisnya ialah ‘culture shock’ kepada pelajar-pelajar baru ini.

Program-program agama ini penting kerana program seperti ini bertujuan untuk memperingatkan mereka ini dengan dugaan dan godaan yang mereka akan hadapi selepas ini. Dugaan dan godaan inilah yang selalunya merosakkan pelajar-pelajar ini. Kita mungkin telah rasai sendiri dugaan dan godaan dialam sekolah tetapi diperingatkan kepada mahasiswa/i baru bahawa dugaan dan godaan dialam universiti ini lebih besar sehingga mampu merosakkan akhidah kita jika kita terlalai. Cabarannya lebih mencabar sehinggakan pelajar-pelajar lepasan sekolah beragama pun boleh hanyut dengan dugaan dan godaannya.

Oleh itu disini ini ana kongsikan beberapa tips mejaga diri dari hanyut bersama-sama dugaan dan godaan, tips ini ana dengar semasa menghadiri dalam salah satu ceramah yang disampaikan oleh seorang ustaz dalam salah satu program MO atau MHS.

Pemilihan Sahabat Atau Rakan

Pemilihan sahabat atau rakan yang baik sangat penting kerana sahabat atau rakan-rakan ini merupakan pengaruh utama kearah pembentukkan akhlak kita. Tetapi bukan maksud ana tidak boleh berkawan dengan sahabat yang kurang baik, boleh berkawan tetapi perlulah wujudkan dalam diri bahawa aku yang akan mengubah kawan kita yang kurang baik tadi mengikut kita bukannya kita yang terikut-ikut rakan kita tadi. Sejarah telah membuktikan bahawa pemilihan sahabat yang baik mampu mencorakkan kita kearah yang baik, ana ambil contoh mudah yang kita sendiri boleh lihat iaitu sikap atau sifat para sahabat-sahabat Nabi Muhammad S.A.W, mereka terarah untuk cuba mencontohi sifat-sifat Rasulullah S.A.W. Jadi telah terbuktilah pengaruh sahabat amat besar dalam pembentukan diri kita, jangan kita rosakkan diri kerana diri yang rosak susah untuk kita sembuhkan bak kata pepatah inggeris ‘prevention is better then cure’ dalam bahasa melayunya mengelak lebih baik daripada merawatnya.

Bentuk Identiti Diri

Identiti diri juga merupakan salah satu benteng untuk memperkukuhkan kepercayaan atau sebagai perisai daripada fahaman-fahaman yang boleh memesongkan akhidah kita. Sekiranya kita mempunyai identiti diri yang kukuh maka kita secara langsung telah mempunyai pegangan agama yang kuat dan tidak mungkin akan mudah tergoyah dek pujukan dan rayuan syaitan. Oleh itu, pembentukkan identiti ini diri boleh dibentuk dengan menyibukkan diri kita dengan kegiatan-kegiatan agama, contohnya menyertai program-program agama atau persatuan-persatuan agama. Boleh dikatakan setiap IPTA dan IPTS mempunyai perstauan agama contohnya ialah Persatuan Mahasiswa Islam(UTM,UM,dll), Ma’aruf Club(UIA) dan banyak lagi persatuan-persatuan agama Islam lain. Melalui program-program perstauan agama inilah akan wujudnya keterikatan atau menjadi pendorong kepada pembentukkan akhlak Islami, tetapi yang penting disini ialah sikap kita yang ingin kepada perubahan perlu ada, seperti mana firman Allah yang lebih kurang maksudnya ‘Allah tidakkan akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka sendiri yang mengubah nasib kaum mereka’.

Matlamat Yang Jelas Dan Mampu Di Capai

Jika ana katakan bahawa semua orang mempunyai matlamat, setuju atau tidak? Sememangnya semua orang mempunyai matlamat tetapi adakah matlamat mereka jelas? Itulah persoalannya. Kejelasan matlamat yang hendak dicapai sangat penting kerana matlamat yang tidak jelas seumpama layang-layang yang putus talinya, tidak ada arah malah menyesatkan kita daripada matlamat yang sebenar. Menyimpang daripada matlamat akan mengundang musibah yang besar. Mampukah matlamat yang kita bina tadi kita capai? Matlamat yang jelas sahaja tidak mampu mengubah apa-apa jika matlamat yang kita bina tak mampu kita capai, sia-sia saja matlamat yang kita bina jika tak dapat dicapai. Setiap matlamat yang kita buat, kita perlu kaji setiap matlamat yang telah kita buat, ini bagi memastikan keberhasilan matlamat tadi. Mengkaji disini bukanlah membuat kajian yang mendalam tetapi kita perlu tahu sejauh mana kemampuan kita.

Inilah tiga tips yang ana dapat kongsikan dengan sahabat sekalian semoga tips ini dapat memberi manfaat yang berguna buat adik-adik dan sahabat-sahabat yang baru melangkahkan kaki ke alam universiti atau mana institut pengajian. Semoga kejayaan yang sahabat-sahabat telah kecapi sebelum ini dapat diteruskan insyaAllah.

Terima kasih kerana sudi berkunjung dan meninggalkan komen-komen, diharapkan komen-komen dan kesudian saudara/i meluangkan masa dapat kita manfaat utuk tujuan dakwah. Saya Muhammad Syukri berbesar hati menerima sebarang komen dan kritikan bagi penambah baikan dalam memberbaiki mutu penulisan saya di blog Rintihan Seorang Hamba ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2011 @ Rintihan Seorang Hamba!
Setiap artikel yang tersiar di sini dihasilkan untuk tujuan dakwah dan bersifat semasa. Powered by Blogger.
Design by Muhammad Syukri | Bloggerized by Rintihan Seorang Hamba | Powered by Blogger
;