Friday, December 19, 2008

Seni Menikmati Ujian

Assalamualaikum..

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Illahi kerana masih dikurniakan kesempatan untuk menulis sekali lagi. Rasanya hampir 2 atau 3 minggu ana tidak menulis, cumanya hanya berkongsi artikel-artikel yang pada ana rasa berguna untuk kita kongsi bersama. IsyaAllah pada post kali ini ana ingin membawa satu rencana buat diri sahabat ikhwah dan akhawat untuk kita sama-sama berfikir sejenak, mengapa kita di timpa pelbagai ujian dan mehnah yang sentiasa membadai bagai ombak yang sentiasa memukul pantai yang kadang kalanya akan mengubah pantai yang landai.

Sahabat-sahabat yang ana kasihi dan rahmati, ana umpamakan kita sebagai pantai di sini dan ombak sebagai ujian atau masalah yang menimpa kita. Cuba kita sama-sama fikirkan kadang kala pantai yang landai boleh berubah menjadi pantai yang dalam. Jika pantai yang landai itu kukuh dengan keadaan geografi tanahnya maka pantai yang landai tadi akan kekal landai. Umpama kita juga sahabat-sahabat, jika sabar dan keimanan tidak wujud dalam diri kita, maka kita ini umpama pantai landai yang tidak mempunyai keadaan geografi tanah yang kukuh. Kita mungkin berpaling daripada kehendak Allah.

Ujian adalah sunatullah. Selama roda kehidupan berputar, selama itulah seseorang akan menuai berbagai ujian dan musibah. Ketakutan, kelaparan, kekurangan harta dan kematian yang akan datang silih berganti malah kesenangan juga merupakan ujian. Sampai bilakah ujian dan musibah ini akan berakhir? Jika kematian adalah jawapannya, maka pertanyaan tersebut tidak penting untuk di jawab.

Sepertimana yang telah ana persoalkan tadi, mengapa kita sering dilanda pelbagai mehnah dan cabaran? Mungkinkah ada sesuatu yang tidak kena pada diri kita, atau mungkinkah ia sebagai kafarah dosa kita di muka bumi? Itu semua terpulanglah kepada sahabat-sahabat untuk muhasabah diri masing-masing. Oleh itu, yang penting sekarang ialah bagaimana hendak lulus dalam setiap ujian.

Jadi dalam post kali ini ana ingin membawa sahabat-sabahat untuk mengubah persepsi sahabat dengan menganggap musibah tadi sebagai suatu bentuk hiburan yang akan mencorakkan hati supaya lebih baik akhlaknya mahupun setiap ibadah yang dilakukannya.

Mari kita fikir suatu contoh. Tubuh badan yang sihat misalnya, adalah juga merupakan suatu ujian kepada hamba-hamba-Nya. Ujiannya ialah samada kita bersyukur dengan kesihatan yang Allah berikan ini atau tidak, ataupun kita leka dan lalai mengerjakan sesuatu yang dimurkai Allah. Syukur merupakan suatu seni untuk kita nikmati ketika mana kita dikurniakan tubuh badan yang sihat. Jika sifat syukur tidak wujud dalam diri kita, maka setiap sesuatu yang ada di muka bumi ini sama sekali tidak akan cukup bagi kita. Kita manusia kadang kala sombong dan bongkak dengan apa yang kita miliki tetapi kita lupa dan leka apa ertinya syukur kepada kita. Syukur merupakan suatu sifat yang meletakkan had pada manusia bahawa kita bukanlah pemilik sebenar jasad kita tetapi pemilik sebenar jasad dan roh kita adalah Allah, kita hanyalah peminjamnya sahaja, itulah hakikat sebenar yang kadang kala kabur di dalam hati kita.

Seni menikmati ujian yang lain yang ana boleh bawa disini ialah s.a.b.a.r. Apa ertinya sabar pada sahabat-sahabat agaknya? Sabar yang ana boleh definasikan di sini ialah menahan hawa nafsu dari memberontak dalam diri sendiri. Maknanya di sini kita mampu mengawal segala kehendak kita terhadap sesuatu. Sabar di sini haruslah meliputi empat aspek tindakan kita:-

- Tabah dan tekun dalam megerjakan taat atau ibadat kepada Allah
- Menahan diri daripada melakukan maksiat dan kemungkaran
- Memelihara diri daripada dipukau oleh godaan dunia, nafsu dan syaitan
- Tenang atau teguh hati menghadapi cubaan atau musibah

Sabar yang demikian tadilah merupakan suatu tuntutan dalam agama dan merupakan satu ibadah, malah segala ibadat itu didirikan di atas sabar, kerana dalam mengerjakan ibadah itu kita terpaksa menanggung kepayahan dan pengorbanan. Maka dengan bersabarlah baru kita akan merasai nikmat ujian ini.

Oleh itu marilah sahabat-sahabat kita anggap bahawa setiap sesuatu musibah yang menimpa kita sebagai suatu nikmat, maka kita nikmatilah ia, kerana tanpa ujian kuranglah iman kita. Ujian itu satu penghayatan bermakna bagi kita untuk kita sama-sama muhasabahkan diri kita dan untuk mendapatkan pengajaran bermakna bagi menempuh hari-hari yang mendatang.


Terima kasih kerana sudi berkunjung dan meninggalkan komen-komen, diharapkan komen-komen dan kesudian saudara/i meluangkan masa dapat kita manfaat utuk tujuan dakwah. Saya Muhammad Syukri berbesar hati menerima sebarang komen dan kritikan bagi penambah baikan dalam memberbaiki mutu penulisan saya di blog Rintihan Seorang Hamba ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2011 @ Rintihan Seorang Hamba!
Setiap artikel yang tersiar di sini dihasilkan untuk tujuan dakwah dan bersifat semasa. Powered by Blogger.
Design by Muhammad Syukri | Bloggerized by Rintihan Seorang Hamba | Powered by Blogger
;