Salam, ana amat tertarik dengan sebuah artikel dari tulisan saudara penulis, yang rasanya sahabat-sahabat mengenali beliau, nama penanya ialah Hilal Asyraf. Jadi ana kongsikan penulisan beliau dalam blog ana, mudah-mudahan input dari bait-bait penulisannya dapat kita jadikan renungan. Salam Ramadhan.
**********************************
Aidilfitri sudah semakin hampir. Bagaimanakah keadaan kita? Ya, pastinya ramai yang bergembira, pastinya ramai yang bersukaria. Kadangkala, hingga kita terlupa bahawa Ramadhan hadiah Allah itu sudah hendak pergi meninggalkan kita. Kadangkala, hingga kita memberhentikan segala ibadah dan amalan kerana kononnya hendak fokus kepada Aidilfitri yang menjelang.
Saya melihat kepada diri saya sendiri. Satu soalan yang beberapa tahun kebelakangan ini saya tanya pada diri.
Apakah saya adalah seorang yang layak merayakan Aidilfitri?
Oh ya, apakah kita ini tahu sebenarnya Aidilfitri itu untuk siapa?
Tahukah?
Adakah kita layak untuk merayakannya sebenarnya?
Dan bagaimanakah sebenarnya untuk merayakannya?
Makna Aidilfitri dan hakikatnya
Perkataan ‘Aid’ atau (‘id) pada awal kata Aidulfitri adalah berkmaksud perayaan. Perkataan ‘fitri’ atau (fitr) pula pulang kepada makna Fitrah. Di dalam bahasa arab, saya sering menyebutnya dengan ejaan begini: ‘idulfitr. Perkataan ‘id + al-fitr.
Melihat semula maknanya, maka hakikatnya Aidilfitri ini adalah perayaan merayakan fitrah. Fitrah apakah yang hendak dirayakan ini? Mengapa namanya demikian?
Maka di sinilah kita perlu melihat semula kepada Ramadhan. Apakah kegunaan Ramadhan?
Ramadhan adalah kem pengislahan diri, peningkatan peribadi, pembersihan hati. Sekiranya kita benar-benar mengisi Ramadhan dengan baik, maka kita akan keluar daripada menjadi seseorang yang baru. Seseorang yang seakan bayi baru lahir. Suci sesuci fitrahnya yang sebenar. Kita akan kembali kepada fitrah kita yang hakiki, yakni menjadi hamba Allah SWT yang taat.
Aidilfitri wujud, untuk meraikan graduan-graduan Ramadhan yang berjaya kembali kepada fitrah. Aidilfitri wujud, untuk meraikan mereka yang bermati-matian mengisi Ramadhan dengan amal ibadah dengan tujuan untuk kembali kepada fitrah ini. Aidilfitri wujud, untuk mereka yang menghidupkan Ramadhan dan mengambil manfaatnya dengan bersungguh-sungguh, untuk dibawa keluar manfaatnya itu pada sebelah bulan yang lain.
Itulah maknanya Aidilfitri.
Persoalannya, apakah kita…?
Persoalannya, apakah kita mengisi Ramadhan dengan bersungguh-sungguh?
Persoalannya, apakah kita menghidupkan Ramadhan dengan bersungguh-sungguh?
Persoalannya, apakah kita menghargai Ramadhan dengan amalan-amalan kita?
Persoalannya, apakah kita benar-benar mengerah diri untuk menyerap khasiat Ramadhan?
Dan kemudian kita bergembira-gembira walaupun Ramadhan belum tamat bahkan sudah hampir hendak pergi, dalam keadaan kita bersambil lewa dan bermain-main dalam melayani Ramadhan?
Saya ada rasa sedikit malu pada diri saya. Sebab saya kira, Aidilfitri bukan untuk saya.
Perasan atau tidak, untuk mereka yang bermain-main di dalam Ramadhan, yang tidak bersungguh-sungguh di dalam Ramadhan, Aidilfitri jelas sekali bukan satu perayaan untuk mereka.
Sebab kita tidak berjaya kembali kepada fitrah. Ramadhan kita isi dengan drama-drama dan perkara yang melalaikan. Kita tidak bangkit pun qiam. Kita tak banyakkan pun sedekah. Kita tak rancang apa-apa pun amal untuk Ramadhan. Kita tidak pula melayan Ramadhan dengan ‘keimanan dan berkira-kira’. Bahkan ada antara kita, di dalam Ramadhan masih bermaksiat, ingkar pada Allah, hidup bukan di atas sistemNya, hidup bukan mencari redhaNya.
Untuk kita yang menyangka Aidilfitri adalah hanya perayaan kita berjaya menahan lapar dan dahaga selama 30 hari, adakah Aidilfitri untuk kita? Saya rasa malu.
Perayaan Aidilfitri yang hakiki
Hakikatnya, yang dinamakan Aidilfitri itu hanyalah pada 1hb Syawal sahaja. Sebab itu, pada hari itu diharamkan untuk seluruh ummat Islam berpuasa.
Hari itu, memang ummat Islam diarahkan bergembira, memakai pakaian yang lawa-lawa, memakai bau-bauan yang wangi, dan diarahkan untuk berkumpul serta membesarkan Allah SWT sebesar-besarnya untuk mensyukuri pengembalian mereka kepada fitrah itu secara beramai-ramai. Kemudian pulang dari masjid untuk berziarah-ziarah.
Tetapi lihatlah, pada 2hb Syawal, kita sudah boleh mula berpuasa enam. Tandanya, 2hb Syawal bukanlah hari besar ummat Islam. Jika di Jordan, suasana ini saya rasai. Pada hari ke-2, sudah berakhir segala promosi raya. Yang ada mungkin hanya ziarah menziarahi sepanjang cuti. Biasanya Kerajaan Jordan akan memberikan cuti sekitar lima hari.
Namun kita, dengan tanpa rasa malu, walaupun mengisi Ramadhan sekadar sambil lewa sahaja, beraya sampai 30 hari lamanya. Kononnya membalas dendam pantang itu ini selama 30 hari di bulan Ramadhan. Bahkan ada pula yang merayakan Hari Raya lebih dari 30 hari.
Tulisan saya ini, bukanlah untuk menyelar mereka yang berziarah walaupun selepas 1hb Syawal. Tidak mengapa berziarah. Ziarahlah. Tujuan artikel ini ditulis, adalah untuk menunjukkan, di mana hakikatnya kita perlu meletakkan kegembiraan kita yang sebenarnya.
Hamba-hamba Allah yang sebenar itu, adalah yang mengambil manisan dunia sekadarnya sahaja. Bukannya melebih-lebih.
Saya lihat, sheikh-sheikh saya yang berdiri lama mengabdikan diri kepada Allah pada bulan Ramadhan, yang masuk ‘hard mode’ dalam Ramadhan dalam beribadah dan menyebarkan kebaikan, cukup bersederhana meraikan Aidilfitri sehari cuma.
Saya jujurnya, malu pada diri saya sendiri.
Sebab itu, puisi itu muncul
Puisi yang saya tulis di: http://ms.langitilahi.com/gambar-belum-tiba-lagi-cintaku-hendak-pergi/ bukanlah hakikatnya untuk menghalang diri kita dari menyebut selamat hari raya. Tetapi adalah untuk kita rasa tersindir dengan sikap kita yang sebenarnya tidaklah mengisi Ramadhan sesungguh mana pun, namun menyambut Aidilfitri seakan-akan Aidilfitri itu benar-benar untuk dia.
Saya amat terkesan dengan sahabat merangkap senior saya: Abang Ali Irfan bin Jamaluddin.
Saya berkata kepadanya: “Selamat Hari Raya Abang Ali” Terus dengan pantas dia membalas: “Ish, Ramadhan belum habis lagi”
Ya. Saya malu. Saya jadi malu. Saya telah meninggalkan Ramadhan hadiah Allah yang sebenarnya, sebelum Ramadhan meninggalkan saya. Sepatutnya, saya dakap Ramadhan erat-erat sebelum dia meninggalkan saya. Sepatutnya, saya ‘terpaksa’ terpisah dengan Ramadhan. Bukan me’rela’kan perpisahan saya dengannya.
Sebab Ramadhan adalah hadiah hakiki untuk manusia.
Sedang Aidilfitri, adalah hadiah kepada mereka yang berjaya melayani hadiah Ramadhan dengan baik.
Barangsiapa yang tidak melayani, menghargai hadiah Ramadhan daripada Allah itu dengan baik, hakikatnya Aidilfitri bukanlah untuknya.
Penutup: Kita patut lihat diri kita semula. Waktu masih ada
Ada orang tersedar awal. Ada orang tersedar lewat. Walaupun hari ini sudah hari yang ke-27 Ramadhan, dan kita hanya tinggal 2@3 malam sahaja lagi untuk Ramadhan, saya kira masih ada waktu lagi untuk kita memasukkan diri kita dalam kalangan mereka yang layak merayakan Aidilfitri.
Kita sepatutnya melihat semula diri kita. 26 hari belakang ini, apakah yang telah kita lakukan.
Kemudian perhatikan, apakah kita ini hakikatnya layak merayakan Aidilfitri?
Malu. Saya hanya mampu berkata itu pada diri saya.
Sama-samalah kita muhasabah.
Waktu masih ada.
Jangan jadi hamba yang tidak bersyukur, kemudian celaka.
Terima kasih kerana sudi berkunjung dan meninggalkan komen-komen, diharapkan komen-komen dan kesudian saudara/i meluangkan masa dapat kita manfaat utuk tujuan dakwah. Saya Muhammad Syukri berbesar hati menerima sebarang komen dan kritikan bagi penambah baikan dalam memberbaiki mutu penulisan saya di blog Rintihan Seorang Hamba ini.