Friday, October 21, 2011

Malu Yang Terkemudian


Apa Sebenarnya 'MALU' Itu?

Bicara mengenai malu, pasti ada yang akan menyatakan "malu itu malu lah", mgkin juga, ada yang akan menyatakan "malu itu shy dalam bahasa inggeris nya". Namun tahukah sahabat-sahabat sekalian malu menurut Islam itu apa sebenarnya. Tetapi sebelum ana nak bicarakan panjang tentang malu, elok rasanya kita tahu terlebih dahulu apa erti malu menurut bahasa dan istilah.

Menurut bahasa, malu bererti perubahan, kehancuran perasaan atau duka cita yang terjadi pada jiwa manusia kerana takut di cela. Adapun asal kata al-hayaa u (malu) berasal dari kata al-hayaatu (hidup), juga berasal dari kata al-hayaa (air hujan).

Sedangkan menurut istilah adalah akhlaq yang sesuai dengan sunnah yang membangkitkan fikiran untuk meninggalkan perkara yang buruk sehingga akan menjauhkan manusia dari kemaksiatan dan menghilangkan kemalasan untuk menjalankan hak Allah.

Kenapa MALU Yang Terkemudian?

Pasti ramai yang tertanya-tanya, kenapa la ana meletakkan tajuk posting "Malu Yang Terkemudian", bukahkah malu itu lah yang perlu didahulukan. Jangan panik, sememangnya malu itu lah yang perlu di utamakan kerana jika hilangnya rasa malu itu maka berleluasalah maksiat, Rasulullah bersabda yang bermaksud:- 

“Jika engkau tidak rasa malu, perbuatlah apa saja yang engkau mahu.” 
(Hadis riwayat Abu Daud dan Bukhari)
Namun kenapa ana meletakkan tajuknya sebegitu rupa, sebabnya ana ingin menyatakan realiti yang sebenar yang sedang kita hadapi sekarang, yang menampakkan sifat malu yang ada pada diri kita itu terzahir setelah berlakunya sesuatu perkara, bukan lagi sebelum berlakunya sesuatu perkara. Baik kita ambil satu contoh suatu situasi di mana:-

Berkenaan gambar kita, kita seorang yang minat mengambil gambar, lalu satu hari kita pun ambil lah gambar kita tengah berposing dengan pelbagai gayanya. Kemudian kita pun muat nakkan lah gambar-gambar kita ke laman maya, lalu ramai lah yang meninggalkan komentar pada gambar kita tu, ada yang memuji ada yang mengkritik. Lalu berlarutanlah komentar-komentar yang ditinggalkan, tetapi yang banyaknya adalah kritikan menyatakan bahawa tidak lah sesuai untuk diletakkan gambar-gambar tadi untuk ditatapi oleh semua orang, jadi mula lah timbul rasanya malu itu.

Kenapa Baru Timbulnya Rasa MALU?

Inilah situasi yang berlaku akhir-akhir ini, berapa ramai diantara kita apabila nak buat sesuatu perkara berfikir terlebih dahulu sebelum melakukannya? Mungkin ada segelintir sahaja. Jelasnnya sifat malu itu hanya timbul terkemudian, sedangkan sifat malu itulah yang perlu diletakkan prioriti paling utama sebelum meletakkan tindakan.

Rasulullah bersabda:


"Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya".
(Bukhari)
Daripada hadis di atas dapatlah kita fahami bahawa sifat malu itu lah perkara utama yang selalu kita lupakan, kita meletakkan perkara lain selain malu itu lebih utama menyebabkan kita hilang rasa malu, & sifat malu ini hanya akan timbul jika ada yang memperingatkan.

MALU Itu Pakaian Ketakwaan

Ketahuilah, Allah memberikan sifat malu agar manusia menahan diri dari keinginan-keinginannya sehingga tidak berperilaku seperti binatang. Ingatlah ketika Adam dan Hawa memakan buah yang terlarang lalu nampaklah aurat keduanya.


“Maka syaitan membujuk keduanya (untuk memakan buah itu) dengan tipu daya. tatkala keduanya Telah merasai buah kayu itu, nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya, dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga. Kemudian Tuhan mereka menyeru mereka: “Bukankah Aku Telah melarang kamu berdua dari pohon kayu itu dan Aku katakan kepadamu: “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?” 
(Qs. Al-A’raaf : 22)


Dari ayat di atas menunjukkan bahawa secara fitrah manusia merasa malu jika tidak berpakaian. Dan tidaklah manusia itu mempamerkan auratnya tanpa pakaian kecuali fitrahnya telah rosak. Sedangkan rosaknya fitrah adalah akibat gangguan iblis dan tenteranya.

Adapun orang yang berupaya menelanjangi badannya dari pakaian, maka lucut lah jiwa dari pakaian ketakwaan dan hilang lah sifat malu kepada Allah dan manusia, mereka itulah yang menginginkan manusia lepas dari fitrahnya dan sifat-sifat kemanusiaannya. Padahal dengan fitrah dan sifat kemusiaannya itulah kita di sebut sebagai manusia.

Sesungguhnya telanjang adalah sifat asli dari haiwan, manusia tidak mempunyai kecenderungan kepadanya, jika ada tentulah akan terjerumus dalam Lumpur kehaiwanan.

Teringat satu sabda aginda Rasulullah lagi yang bermaksud:-
“Sesungguhnya Allah jika ingin menghancurkan seseorang, Ia akan mencabut rasa malu dari dirinya. Apabila rasa malu itu dicabut (daripadanya), maka engkau akan menemuinya sebagai seorang yang dibenci dan menjijikkan.” 
(Hadis riwayat Ibn Majah)

Bagaimana Meningkatkan Rasa MALU?

Malu boleh kita bentuk dengan adanya beberapa sifat yang perlu dibentuk dan di tanam dalam diri kita, antaranya ialah :-

Muraqabatullaah (merasa terus diawasi Allah),
Apabila seorang hamba itu merasa Allah sedang melihat kepadanya, segala gerak gerinya dan berada dekat dengannya, maka kita akan memperoleh muraqabatullaah kerana rasa malunya kita kepada Allah.

Mensyukuri nikmat Allah,
Sifat malu akan muncul secara tidak diduga dengan memikirkan nikmat Allah yang tidak terbatas, pada hakikatnya orang yang berakal akan merasa malu untuk menggunakan nikmat Allah untuk berbuat maksiat kepadanya.

Terima kasih kerana sudi berkunjung dan meninggalkan komen-komen, diharapkan komen-komen dan kesudian saudara/i meluangkan masa dapat kita manfaat utuk tujuan dakwah. Saya Muhammad Syukri berbesar hati menerima sebarang komen dan kritikan bagi penambah baikan dalam memberbaiki mutu penulisan saya di blog Rintihan Seorang Hamba ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2011 @ Rintihan Seorang Hamba!
Setiap artikel yang tersiar di sini dihasilkan untuk tujuan dakwah dan bersifat semasa. Powered by Blogger.
Design by Muhammad Syukri | Bloggerized by Rintihan Seorang Hamba | Powered by Blogger
;