Friday, April 6, 2012

Kenali INSPIRASI

Kenyataan rasmi INSPIRASI..



Kami, Inspirasi Anak Muda Malaysia (INSPIRASI), mewakili seluruh anak muda Malaysia hari ini, menyatakan kesungguhan dan komitmen kami untuk menjayakan gagasan atau idea daripada komuniti anak muda terhadap pembentukan masa hadapan negara Malaysia yang lebih cemerlang untuk dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Besarlah harapan kami agar gagasan ini disambut dengan penuh iltizam oleh pihak kerajaan, pemimpin politik dan ahli akademik.

Kami INSPIRASI, bergerak melalui kesatuan yang dianggotai oleh pelbagai latar belakang dan variasi inspirasi organisasi anak muda bertujuan untuk membangkitkan kesedaran, menambah pengetahuan dan meningkatkan rasa tanggungjawab serta partisipasi anak muda terhadap agenda pembinaan negara Malaysia yang lebih cemerlang.

INSPIRASI dengan ini menyatakan kesungguhan untuk memperjuangkan enam gagasan yang meliputi transformasi pendidikan, keadilan undang-undang, ekonomi yang merakyat, jaminan kerjaya, politik bertintegriti dan keharmonian sosial.

Melihat kepada situasi semasa negara, INSPIRASI merasa terpanggil untuk tampil memperjuangkan dan mendidik masyarakat terutamanya anak muda Malaysia tentang makna kesatuan, keadilan, keamanan, kesepaduan, sifat kebertanggungjawaban, nilai kenegaraan dan sebuah kemerdekaan sebenar menurut kacamata Islam. Secara lebih terperinci, gagasan INSPIRASI adalah seperti berikut :


Rejuvinasi Sistem Pendidikan
  1. Melakukan transformasi sistem pendidikan kepada yang lebih praktikal dan efisyen dengan generasi sekarang.
  2. Memberi peruntukan dana yang lebih besar dalam pendidikan dengan meluaskan pemegang biasiswa aliran sains, agama dan vokasional serta menghapuskan bunga bagi segala bentuk pinjaman pendidikan.
Keadilan Undang-undang
  1. Menghapuskan akta zalim.
  2. Meluaskan bidang kuasa mahkamah syariah.
Ekonomi untuk Rakyat
  1. Melestari dan memperkasa pelaksanaan zakat dan baitulmal mengikut syariah Islam.
  2. Melaksanakan cukai progresif bagi semua sektor.
  3. Menyamaratakan secara konsisten pengagihan dan penetapan harga barang keperluan.
Jaminan Kerjaya
  1. Memberikan bantuan kewangan dan mengisytihar SOHO (Small Office Home Office) sebagai pasaran baru yang lebih sesuai dengan anak muda.
  2. Mengurangkan kadar pengambilan buruh asing sebagai sumber manusia dengan mengutamakan anak tempatan.
  3. Mengurangkan had umur pencen daripada 60 tahun kepada 55 tahun atau kurang untuk memberi ruang yang lebih besar kepada anak muda dalam kerjaya.
Integriti Politik
  1. Menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bebas rasuah.
  2. Menuntut sistem pilihanraya yang telus dan adil.
  3. Mewujudkan Parlimen Belia untuk melibatkan belia dalam proses penggubalan keputusan di peringkat nasional.

Keharmonian Sosial
  1. Mengungguli budaya hidup sihat dengan gaya pemakanan yang sihat dan aktiviti bersenam.
  2. Mencari penyelesaian yang holistik bagi mengurangkan kadar penglibatan anak muda dalam masalah sosial dan budaya kuning.
  3. Menolak media dan semua medium komunikasi perdana dan semasa yang memaparkan unsur ketidakmoralan, bias dan tidak membina akal dan budi rakyat.
  4. Memperkasakan peranan pendidikan dari rumah dan institut kekeluargaan.


Akhir kata, kami meletakkan harapan yang besar dan membuka seluas-luasnya ruang kepada seluruh front mahasiswa dan anak muda untuk bersama-sama kami menjayakan deklarasi ini sebagai manifestasi kebersamaan komuniti muda ke arah pembinaan negara Malaysia yang makmur, aman dan cemerlang.

Masa depan negara terletak di bahu kita, anak muda Malaysia. Ayuh, kami menyeru seluruh anak muda dan rakyat Malaysia untuk berganding bahu dan menyatakan komitmen menjayakan gagasan ini.


Sekian. Terima kasih.

Saya yang benar,

EIKHWAN ALI
Pengerusi,
Inspirasi Anak Muda Malaysia (INSPIRASI).
Mewakili :
1. Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
2. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
3. Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMI UM)
4. Ma’ruf Club Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (MC UIAM)
5. Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISI UKM)
6. Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMI UPM)
7. Persatuan Pelajar Islam Universiti Selangor (PPI Unisel)
8. Al-Azhar Members Kolej Universiti Islam Selangor (ALAM KUIS)
9. Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur (PMI UTM-KL)
10. Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang (PMI USM-PP)
11. Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia, Skudai (PMI UTM-Skudai)
12. Badan Dakwah dan Rohani Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur (BADAR UKM-KL)






Terima kasih kerana sudi berkunjung dan meninggalkan komen-komen, diharapkan komen-komen dan kesudian saudara/i meluangkan masa dapat kita manfaat utuk tujuan dakwah. Saya Muhammad Syukri berbesar hati menerima sebarang komen dan kritikan bagi penambah baikan dalam memberbaiki mutu penulisan saya di blog Rintihan Seorang Hamba ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2011 @ Rintihan Seorang Hamba!
Setiap artikel yang tersiar di sini dihasilkan untuk tujuan dakwah dan bersifat semasa. Powered by Blogger.
Design by Muhammad Syukri | Bloggerized by Rintihan Seorang Hamba | Powered by Blogger
;