Tuesday, August 19, 2008

Islam Dan Ekonomi


Pertamanya, bersyukur kehadrat Ilahi kerana dengan kasih dan limpahan rahmat-Nya, masih diberikan peluang untuk meneruskan kehidupan sebagai hamba-Nya pada hari ini. Tanpa rahmat dan kasih-Nya mungkin hari ini sudah tidak ada lagi bagi saya untuk meneruskan sisa-sisa hidup yang telah Dia tetapkan bagi setiap makhluk-Nya.

Terus kepada tajuk saya diatas, antara Islam dan ekonomi, adakah Islam dan ekonomi boleh dipisahkan? Sebenarnya ekonomi dalam Islam bukanlah sesuatu yang asing, malahan ekonomi merupakan sebahagian dari Islam dan juga pelengkap kepada Islam itu sendiri. Tidak banyak yang dikemukakan dalam Al-Quran secara jelas tentang prinsip-prinsip ekonomi Islam, namun dalam Al-Quran dan hadis banyak membahaskan tentang bagaimana seharusnya kaum Muslim bertindak sebagai pengeluar , pengguna dan pemilik modal.


Ini menunjukkan secara tidak langsung Allah menggalakkan hamba-hambanya untuk menceburi bidang ekonomi ini.

Adakah kita sedar betapa pentingnya ekonomi kepada kehidupan seharian kita pada hari ini? Apabila disebut ekonomi maka pemikiran kita akan terus terbayangkan tentang wang dan bagaimana menjanakan kewangan. Memang tidak boleh disangkal lagi bahawa ekonomi memang melibatkkan wang ringgit. Oleh itu, ekonomi memanglah amat penting dalam kehidupan sehari-harian kita kerana tanpanya pada zaman globalisasi ini berkemungkinan besar kita tidak dapat meneruskan kehidupan kita pada hari ini. Wang diperlukan disegenap pelusok dunia bagi menjamin keberlangsungan kehidupan kita pada hari ini, malahan hendak menggunakan tandas pada hari ini sekalipun terpaksa menggunakan wang. Oleh itu Islam amat menitik beratkan segala masalah berkaitan dengan ekonomi kerana wang bukanlah bahan mainan yang boleh digunakan sesuka hati.

Jika dilihat kepada konsep ekonomi Islam atau ekonomi syariah yang sebenar, Islam menerapkan nilai-nilai murni dalam melaksanakan ekonomi yang seimbang dari segala sudut dan aspek ekonomi. Ekonomi sering dikaitkan dengan sosial kerana setiap urusniaga melibatkan dua pihak yang sama-sama memberikan kerjasama antara satu sama lain. Jika berlaku paksaan terhadap salah satu pihak, maka urusniaga tadi bukanlah satu kerjasama antara dua pihak lagi kerana terdapat paksaan dalam urusan jual beli tadi. Islam amat menentang konsep ikrah iaitu paksaan ini kerana konsep ini telah bercanggah dengan sifat ekonomi syariah yang menekan sifat kebebasan dalam melakukan urusan jual beli.

Apabila sesuatu perkara melibatkan dua pihak, contohnya ekonomi, maka perlulah wujudnya urusan jual beli yang adil. Urusan jual beli yang adil amat penting kerana Islam menentang keras konsep ketidakadilan dalam setiap perbuatan dan perlakuan kerana dalam ekonomi syariah juga ada menyatakan bahawa perlu wujudnya keseimbangan dalam setiap urusniaga yang dilakukan. Oleh itu tidak akan wujud konsep yang kaya tetap kaya yang miskin tetap miskin kerana jika berlakunya keseimbangan ini maka yang miskin tidak akan terus miskin. Konsep ini telah dinyatakan didalam Al-Quran:

Apa saja harta rampasan yang diberikan Allah kepada Rasulnya yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan hanya beredar diantara orang-orang kaya sahaja diantara kamu…..

Al-Hasyr (59:7)

Konsep ini juga dapat dilihat aplikasinya daripada pembayaran zakat kepada sesiapa yang mampu mengeluarkan zakat, setiap harta yang dimiliki bukanlah keseluruhannya adalah milik kita semata-mata.

Islam juga menentang konsep tatfif atau penyelewengan, dalam firmannya:

Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang.(iaitu) orang-orang yang apabila menerima timbangan dari orang lain mereka meminta dipenuhi, dan apabila mereka menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi.

Al-Muthaffifin (83:1-3)

Daripada ayat tadi telah jelaslah bahawa konsep penyelewengan amat ditentang keras oleh Allah dalam perlaksanaan urusan timbangan ataupun urusan jual beli.

Setiap manusia telah diamanahkan sebagai khalifah Allah tidak mungkin bersifat individualistik kerana semua kekayaan yang ada dibumi ini adalah milik Allah semata-mata, dan manusia adalah kepercayaannya di bumi. Jadi tidak akan wujudlah konsep takhatur iaitu pengumpulan harta berlebihan seperti mana firmannya:



Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).

( Ali Imran : 14)

Islam tidak menggalakkan pengumpulan harta berlebihan kerana ditakuti ummatnya dijangkiti penyakit al-wahan iaitu penyakit cintakan dunia melebihi cintanya pada pencipta. Apabila diselubungi kemewahan manusia mudah tergoda dengan pujukan syaitan dan mudah hanyut dengan godaannya.

Oleh itu ekonomi syariah atau ekonomi islam jika diamalkan seratus peratus maka tidak akan wujudlah penindasan dan penyelewengan didalam urusniaga dan urusan jual beli. Segala yang telah ditetapkan Allah ada hikmahnya kepada setiap makhluknya, jadi jika segalanya dituruti maka tidak akan berlakunya permasalahan masyarakat kita seperti hari ini, tidak akan berlaku riba dan sebagainya lagi.

Terima kasih kerana sudi berkunjung dan meninggalkan komen-komen, diharapkan komen-komen dan kesudian saudara/i meluangkan masa dapat kita manfaat utuk tujuan dakwah. Saya Muhammad Syukri berbesar hati menerima sebarang komen dan kritikan bagi penambah baikan dalam memberbaiki mutu penulisan saya di blog Rintihan Seorang Hamba ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2011 @ Rintihan Seorang Hamba!
Setiap artikel yang tersiar di sini dihasilkan untuk tujuan dakwah dan bersifat semasa. Powered by Blogger.
Design by Muhammad Syukri | Bloggerized by Rintihan Seorang Hamba | Powered by Blogger
;