Tuesday, August 19, 2008

Realiti Yang Menyedihkan

Alhamdulillah kali ini sekali lagi ana berkesempatan untuk menulis setelah berminggu berlalu tanpa menghantar post di dalam blog ana ini. Pada post kali ini mungkin apa yang ana hendak bicarakan sudah terlalu ketinggalan zaman, tetapi perkara ini ana lihat semakin serius malah lebih menjadi-jadi. Tanpa ana berkias panjang lagi lebih baik ana teruskan sahaja apa yang ana rasa perkara dan masalah ini tidak pernah selesai iaitu masalah akhlak remaja yang mana ana juga tergolong diantara mereka juga.


Masalah ini ana boleh anggap dan lihat sebagai suatu cabaran besar bagi setiap remaja yang menempuh alaf ini kerana wujudnya pelbagai sifat-sifat kedunian yang semata-mata memberikan keseronokkan dan kepuasan kepada jiwa-jiwa remaja masa kini. Ana disini bukanlah seorang yang alim tetapi cuma seorang yang suka memerhati dan menilai sesuatu untuk kebaikan bersama. Sedarkah kita sebagai remaja bahawa kita begitu mudah tertewas dengan cabaran semasa kini?


Adakah kita telah bersedia untuk mendepani cabaran yang semakin mencabar ini? Apakah persediaan ataupun perisai yang kita ada untuk menghadapi atau menempuhi cabaran-cabaran yang mendatang ini? Inilah beberapa persoalan yang perlu terjawab dan ditempuhi oleh remaja masa kini, sedar atau tidak memang inilah realiti persoalan sebenar yang kita perlu hadapi sebagai remaja, pelajar, mahasiswa ataupun sebagai anak bagi mendepani kehidupan yang semakin kompleks dan mencabar.


Bagi menjawab semua persoalan tadi, kita perlu menilai diri kita terlebih dahulu sebelum menyalahkan situasi atau keadaan yang kita hadapi sekarang. Dimanakah kekuatan yang ada pada diri kita bagi menempis semua cabaran tadi dengan mudah? Soal bersedia atau tidak, memang kita tidak boleh elak lagi kerana persoalan itu semestinya kita wajib jawab, mahu tidak mahu, realitinya kita telah berada dalam situasi dan keadaan mencabar tadi.


Jadi apakah persedian kita untuk mengharungi cabaran tadi, itu persoalan kedua yang ana cuba bangkitkan tadi. Bila kita menyebut persediaan, apakah perkara yang mula-mula akan terpapar diruang fikiran atau minda kita? Bagi ana, perkara pertama yang bermain diminda ialah dimanakah kedudukan tahap iman kita? Adakah kukuh, sederhana ataupun goyah? Mungkin tahap kukuh itu susah untuk kita capai kerana iman yang kukuh ini hanya para malaikat yang memilikinya, iman kita kekadang naik kekadang turun, untuk berada dikeadaan goyah cukup senang bagi seseorang manusia tetapi untuk mencapai tahap iman yang kukuh seakan-akan mustahil. Oleh itu, tepuk dada tanya iman, dan marilah kita berdoa semoga kita tergolong di tahap yang sederhana.


Selain iman apakah persediaan lain kita? Iman yang utama perlu diperteguhkan, keduanya ialah menjaga hawa nafsu. Kenapa hawa nafsu? Jawapannya amat mudah kerana dengan hawa nafsu kita terdorong untuk melakukan sesuatu. Dengan kata lainnya, nafsu boleh membawa jasad atau diri kita walaupun jasad tidak mahu tetapi jasad terpaksa turuti kerana nafsu mengawal pemikiran kita. Oleh itu, mengawal nafsu adalah penting bagi melahirkan mental dan fizikal yang mantap berasaskan pegangan agama yang kukuh dan sempurna. Nafsu boleh dikatakan raja didalam diri jika tidak dikawal dan dijaga, jika nafsu yang menjadi raja didalam diri maka rosaklah jasad. Untuk membentuk peribadi yang baik maka kemaraan nafsu perlu disekat dan ditapis terlebih dahulu, dengan memikirkan baik buruknya tindakan yang akan diambil hasil daripada kehendak nafsu tadi.


Jika nafsu sudah melonjak tinggi akal lah yang akan menilai, oleh itu akal dan nafsu perlu seimbang kerana akal yang akan menimbang tara apa kata nafsu. Akal memainkan peranan penting dalam membuat sesuatu keputusan. Kenapa ana letak akal selepas nafsu? Jika kita lihat cara pemikiran manusia contohnya, kita dapat lihat bahawa setiap tindakan adalah berdasarkan nafsu, kemudian akal yang akan menilai kehendak nafsu tadi. Ana ambil satu contoh mudah, jika nafsu kuat mengatakan untuk makan, maka akal akan memproses kehendak nafsu dan mentafsirkan bahawa kita sedang lapar. Oleh itu jelas kita dapat lihat bahawa akal bertindak sebagai pemproses maklumat hasil daripada kehendak nafsu. Daripada keputusan maklumat tadi maka jasadlah yang akan mentafsirkan dari sudut perbuatan kita. Akal secara zahirnya memang menginginkan kebaikan kepada kita, jadi kita perlulah menjaga akal kita supaya dapat menilai dan memproses serta menapis setiap kehendak nafsu, yang baik mahupun yang buruk.


Oleh itu, kekuatan dalaman diri yang mantap mampu menghasilkan peribadi insan yang kukuh dari segi pegangan hidup dan pendiriannya bagi mendepani segala cabaran yang mendatang tanpa diduga. Iman yang teguh mampu mengawal nafsu dan akal untuk menilai baik dan buruknya tindakan yang akan diambil, dengan adanya keteguhan iman maka segala cabaran dan pemikiran buruk yang cuba menggoyahkan pendirian kita akan mudah ditempis dan dihalang daripada meracuni pemikiran kita. Oleh itu, kita sebagai anak muda haruslah berfikiran matang dalam menghadapi segala cabaran, mungkin segala cabaran tadi ada jalan mudah untuk menyelesaikannya tetapi adakah setiap jalan pintas tadi mampu membawa kebahagian kelak pada diri kita. Kita motivasikan diri kita, semalam adalah yang terbaik, hari ini adalah lebih baik dari semalam dan esok adalah lebih baik dari hari ini.


Kelmarin adalah suatu sejarah,

Hari ini adalah suatu pemberian-Nya,

Dan esok adalah sesuatu yang luar biasa;

Terima kasih kerana sudi berkunjung dan meninggalkan komen-komen, diharapkan komen-komen dan kesudian saudara/i meluangkan masa dapat kita manfaat utuk tujuan dakwah. Saya Muhammad Syukri berbesar hati menerima sebarang komen dan kritikan bagi penambah baikan dalam memberbaiki mutu penulisan saya di blog Rintihan Seorang Hamba ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2011 @ Rintihan Seorang Hamba!
Setiap artikel yang tersiar di sini dihasilkan untuk tujuan dakwah dan bersifat semasa. Powered by Blogger.
Design by Muhammad Syukri | Bloggerized by Rintihan Seorang Hamba | Powered by Blogger
;