Thursday, September 4, 2008

Ramadhan Yang Bertandang

Ramadhan al Mubarak bertandang sekali lagi dalam rangka ziarah rutin tahunannya kalendar hijrah. Datangnya dengan seribu berkat dimana pintu-pintu kebaikan dibukakan kepada umatnya yang berusha untuk mendapatkannya.

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan. 

Ramadhan datang mengunjungi umat Islam kebelakangan ini dengan wajah yang suram. Tekanan dan kemelut yang menimpa Muslimin di seluruh pelusuk dunia seperti Palestin, Chechnya, Kashmir, Afghanistan, Iraq, Burma, Indonesia, Filipina dan lain-lain lagi. Puluhan ribu pejuang-pejuang Islam masih merengkok dalam jeriji besi yang dibina oleh kaum kafir laknatuLah seperti di Mesir, Syria, Israel kerana mempertahankan Dinul Islam. 

Bagi kita yang masih diberi nikmat kesenangan dan kebebasan yang tidak tentu sampai bila keamanan ini, kiranya perlulah kita merebut peluang keemasan ini semaksima mungkin. Sesungguhnya Ramadhan mempunyai pengajaran-pengajaran tarbawi, yang begitu mendalam kepada kita yang bercita-cita menjadi daie penyelamat umat. Ramadhan disediakan oleh Allah SWT sebagai madrasah untuk mengangkat darjat dan membersihkan jiwa manusia dari lembah perhambaan kepada syahwat kepada maqam "Rabbani" supaya manusia kembali memiliki diri dan iradahnya untuk melaksanakan tanggungjawab yang khusus iaitu memikul dan melaksanakan manhaj Rabbani di bumi ini. 

Sesungguhnya jalan dakwah ini jika difikir dan direnung kembali ianya terlalu jauh, berat, menjemukan dan amat menguji ketahanan jiwa. Tanpa bekalan diperjalanan, kita akan tewas, futur, putus asa dan gugur. Yang terselamat hanyalah mereka yang mempunyai bekalan dan sentiasa mencari-cari dan menambahnya bagi meneruskan perjalanan. 

Ramadhan adalah madrasah taqwa yang mampu melahirkan para daie yang kuat berdiri dijalan Allah. Madrasah ini telah melahirkan para pemuda-pemuda atau shabab-shabab yang mampu mendokong agama Islam. Madrasah yang dipenuhi dengan zikrulLah, qiamullail, istighfar, taubat, tilawatul Quran dan ketundukan yang sepenuhnya ke hadrat Allah SWT. Inilah madrasah yang disifatkan oleh RasululLah SAW di dalam sabdanya yang bermaksud : 
"Awalnya keampunan, pertengahannya rahmat dan akhirnya pembebasan dari api neraka"
Begitu juga dengan Sabda Rasulullah SAW : 
"Apabila datang Ramadhan pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, syaitan dirantai, wahai orang yang mahu melakukan kejahatan hentikanlah, dan wahai orang yang mahu melakukan kebaikkan teruskanlah "
Di sebalik kesuraman yang menyelubungi umat Islam hari ini, Ramadhan datang dalam suasana ceria dan penuh azam kerana di sana masih terdapat mereka yang masih hidup imannya dan bertekad untuk memenangkan Dinul Islam mengatasi sistem-sistem lain yang sedang bermaharajalela pada hari ini. 

Ramadhan adalah bulan jihad dan kemenangan umat Islam. Lembaran-lembaran sejarah kegemilangan ummah Islam, telah membuktikan realiti ini ialah dipeperangan Badar, Fathul Makkah, Tabuk, kemenangan Toriq ibn Ziad, Solahuddin Al Ayubi membebaskan Al-Aqsa, Muhammad Al-Fatih Membuka Kota Konstantinople, Kemenangan Perang 10 Oktober di antara Mesir dan Israel dan banyak lagi pembukaan-pembukaan yang dilakukan oleh panglima-panglima Islam yang lain. 

Kenapa ianya berlaku di bulan Ramadhan sedangkan muslimin keletihan berpuasa? Kerana itulah saat mukmin paling hampir dengan Tuhannya, mereka mendapat pertolongan secara langsung dari Allah melalui ibadat, taqwa dan pengekangan diri dari nafsu syahwat. Kemenangan-kemenangan tersebut bukanlah suatu kehairanan bagi mukmin apabila mereka berhubung terus dengan Allah Rabbul Jalil. Firman Allah bermaksud : 
Dan Kami selalu berkewajiban menolong orang-orang yang beriman " Ar Ruum:47 
Rebutlah peluang yang tidak ada tolok bandingnya, sebelum ianya berlalu meninggalkan kita tanpa kita sempat mengambil apa-apa yang berlaku darinya. Bagaimanakah jika inilah Ramadhan terakhir bagi kita.Lancarkanlah jihad kepada jiwa, nafsu, harta benda dan dunia ini keseluruhannya agar kita bebas dari belenggu keduniaan. Sempena kedatangan Ramadhan al Mubarak kali ini, marilah kita mencontohi RasululLah SAW dan para salafus soleh dalam persediaan menyambutnya, di mana slogan mereka 'mereka saling mengucapkan selamat tinggal diantara mereka dan berjanji akan bertemu pada hari raya'.


Terima kasih kerana sudi berkunjung dan meninggalkan komen-komen, diharapkan komen-komen dan kesudian saudara/i meluangkan masa dapat kita manfaat utuk tujuan dakwah. Saya Muhammad Syukri berbesar hati menerima sebarang komen dan kritikan bagi penambah baikan dalam memberbaiki mutu penulisan saya di blog Rintihan Seorang Hamba ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2011 @ Rintihan Seorang Hamba!
Setiap artikel yang tersiar di sini dihasilkan untuk tujuan dakwah dan bersifat semasa. Powered by Blogger.
Design by Muhammad Syukri | Bloggerized by Rintihan Seorang Hamba | Powered by Blogger
;