Tuesday, June 2, 2009

Belajarlah Untuk Berkata 'Cukup'

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan sesungguhnya aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan rasulNya. Selawat berserta salam buat Nabi Junjungan Muhammad SAW yang mempunyai keperibadian mulia & diutuskan sebagai ikutan. Juga buat sekalian muslimin & orang-orang yang beramal soleh. Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Illahi kerana masih diberikan kesempatan untuk mencoret sekali lagi di dada alam maya ini. Kesempatan yang jarang-jarang sekali ana dapat sepanjang cuti ini, ana sekali lagi ingin membawa satu lagi perkongsian yang mungkin bermanfaat buat sahabat-sahabat.

Beberapa hari lepas ana sempat menonton sebahagian dari sebuah filem inggeris yang disiarkan di Astro. Salah satu babak yang saya ingat sangat, ialah di awal cerita yang mengisahkan seorang lelaki businessman yang bernama Michael. Daripada filem itu, kelihatan Micheal merupakan seorang businessman yang agak sibuk.

Ketika itu dia sedang asyik bercakap-cakap di handphonenya di dalam kereta. Secara kebetulan dibelakangnya ada seorang lelaki sedang mengayuh basikal sambil menghisap pipe. Tiba-tiba Micheal membuka pintu keretanya dan akibatnya lelaki tersebut terlanggar pintu kereta Micheal dan jatuh tergolek. Melihatkan orang yang menaiki basikal itu jatuh tergolek, Micheal dengan keadaan tergocoh-gocohnya dan sibuk untuk meminta maaf tuh, handphone Micheal terlepas dari genggaman tangannya. Sampai ke atas jalan, hendak dijadikan ceritanya lagi datang satu trailer melenyek handphonenya. Apa lagi, menyumpah seranah la dia.

Mana taknya, Sebagai businessman, tentu handphonenya tu merupakan alat penting untuknya. Dalam keadaannya yang marah, terkeluar dari mulut Micheal (lebih kurang la...) "Saya harap ini tak pernah terjadi". Di jadikan cerita lagi, lelaki yang menunggang basikal tadi mempunyai kuasa magik. Dengan kuasa magiknya,dia mampu mengulang balik masa dan mereka kembali ke satu keadaan di mana Micheal masih dalam kereta dan lelaki tadi masih menunggang basikalnya.

Hampir saja lelaki yang menunggang basikal tadi dengan kereta Micheal, dia lalu berhenti. Tiba-tiba Micheal keluar dari kereta. Kali ni lelaki tadi tidak melanggar pintunya seperti sebelum ini. Jadi Micheal terus rancak berbual hinggalah tiba-tiba datang trailer dan melanggar Micheal. Lelaki tadi, yang berada di belakang kereta Micheal dan memerhatikan segalanya, bekata "Some people just don't know what to wish for" yang maksudnya Sesetengah orang tak tahu apa yang patut diminta.

Apa kesudahannya, ana tak tahu sebab ana tak menontonnya hingga selesai. Apa yang ana tertarik dari filem ini ialah apa yang di percakapkan oleh lelaki berbasikal tadi. Sesetengah orang tak tahu apa yang patut mereka minta. Jika diamatinya dengan kehidupan kita, bukankah hampir kita semua begitu? Dalam filem tadi, Micheal mengharapkan kemalangan dengan basikal yang melanggar pintu keretanya tak berlaku supaya handphonenya terselamat. Tapi tanpa kemalangan itu, dia pula yang maut. Perasan tak?

Ini hanya merupakan sebuah telefilem fiksyen, hanya rekaan semata sahaja. Tetapi perkara ini sebenarnya berlaku dalam kehidupan seharian kita. Seringkali kita meminta perkara yang bermacam-macam seolah-olah itulah yang terbaik untuk kita.

Persoalannya, tahukah kita apa yang terbaik untuk kita? Kalau kita dilahirkan miskin, kita sering berdoa untuk menjadi kaya. Hendak mengubah kehidupan, kita kata. Tapi kita pastikah kekayaan itu yang terbaik untuk kita? Atau kita dilahirkan pendek, atau terlalu tinggi, atau hitam atau berpenyakit. Tentunya kita mengharap-harapkan keajaiban untuk menjadi manusia yang sempurna atau sekurang-kurangnya 'just nice'. Mungkin juga kita terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan orang yang tersayang. Pasti tercalit dalam hati keinginan untuk mengembalikan masa itu supaya kemalangan itu dapat dielakkan dan nyawa orang kesayangan kita juga selamat. Kan?

Persoalannya, adakah apa yang kita perolehi sekarang ini bukan yang terbaik? Adakah Allah itu zalim atau pilih kasih dengan memberi sesetengah orang nikmat manakala setengah lagih azab? Bukankah Allah itu Maha Adil? Bukankah Allah itu Maha Mengetahui? Bukankah Allah itu Maha Bijaksana? Jika begitu, mengapakah ada sesetengah dari kita yang bernasib malang manakala sesetengah yang lain bernasib baik sepanjang hidup mereka?

Persoalan ini akan lebih kukuh jawapannya dengan adanya penghayatan terhadap firman ALLAH SWT ini,

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. ALLAH SWT mengetahui sedangkan kamu tidak.” (al-Baqarah:216)

Daripada firman Allah ini , jelaslah bahawa Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita dan kita tidak mampu menilai apa yang sebenarnya betul-betul terbaik untuk kita. setiap sesuatu ada himah disebaliknya, oleh itu ingin ana kaitan coretan kali ini dengan coretan sebelum ini bahawa kita perlu mempelajari seni menikmati ujian. Apabila kita menikmati ujian yang menimpa diri kita, kita akan belajar sesuatu yang berharga buat diri kita.

Sebenarnya, kita adalah apa yang kita minta (we are what we wish for).Kadangkala tatkala kita berdoa, kita sendiri kurang faham dengan apa yang kita minta. Ada orang berdoa minta selamat. Akan tetapi Allah berikan dia dari sihat jatuh sakit. Dari kaya jatuh miskin. Dari jelita jadi hodoh. Bagaimana itu? Itu hanyalah sebagai ujian kesabarannya. Seandainya imannya tetap kuat, insyaAllah dia akan selamat di akhirat kelak.

Oleh itu, perasaan cukup itu perlu ada pada diri kita, jaganlah kita jadi seorang yang sentiasa merasakan dirinya tidak cukup, padahal segalanya telah ada padanya. Oleh itu untuk mengukur diri dari segi material Nabi saw pernah menasihatkan agar kita melihat orang yang di bawah. Jangan melihat orang lebih tinggi kerana itu akan membuat kita tidak bersyukur. Dan itulah masalahnya pada diri kita. Kita sentiasa mengejar peluang yang lebih baik. Sentiasa mahukan yang lebih banyak. Sesekali bersyukurlah dengan apa yang kita ada sekarang. Belajarlah untuk bercakap cukup..

Wallahu a'lam.

Terima kasih kerana sudi berkunjung dan meninggalkan komen-komen, diharapkan komen-komen dan kesudian saudara/i meluangkan masa dapat kita manfaat utuk tujuan dakwah. Saya Muhammad Syukri berbesar hati menerima sebarang komen dan kritikan bagi penambah baikan dalam memberbaiki mutu penulisan saya di blog Rintihan Seorang Hamba ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2011 @ Rintihan Seorang Hamba!
Setiap artikel yang tersiar di sini dihasilkan untuk tujuan dakwah dan bersifat semasa. Powered by Blogger.
Design by Muhammad Syukri | Bloggerized by Rintihan Seorang Hamba | Powered by Blogger
;