Thursday, July 2, 2009

Sedekah Yang Salah Alamat

Amalan memberi atau bersedekah merupakan amalan yang sangat mulia disisi Allah. Amalan ini akan lebih disukai oleh Allah jika seseorang itu mampu memberi walaupun padanya ketika itu dia tidak mempunyai seberapa mana. Oleh itu ana ingin membawakan sebuah kisah seorang lelaki yang mempunyai niat untuk bersedekah kepada orang yang betul layak menerimanya, tetapi setiap kali bersedekah, sedekahnya tidak sampai kepada orang yang betul-betul layak menerimanya. Mari kita sama-sama hayati kisahnya.
Suatu ketika, Rasulullah S.A.W, seperti yang kerap baginda lakukan, berbincang-bincang dengan para sahabat di serambi Masjid Nabawi, Madinah. Selepas bersalaman dengan mereka, beliau berkata kepada mereka, Suatu saat ada seorang lelaki berkata kepada dirinya sendiri, Malam ini aku akan bersedekah!
Dan, benar, malam itu juga dia memberikan sedekah kepada seorang perempuan yang tak dikenalnya. Ternyata, perempuan itu seorang pezina. Sehingga, kejadian itu menjadi perbincangan khalayak ramai. Akhirnya, khabar tersebut sampai juga kepada lelaki itu. Mendengar khabar yang demikian, lelaki itu bergumam, Ya Allah! Segala puji hanya bagi-Mu. Ternyata, sedekahku jatuh ke tangan seorang pezina. Kerana itu, aku akan bersedekah lagi!
Maka, lelaki itu kemudian mencari seseorang yang menurutnya layak menerima sedekah. Ternyata, penerima sedekah itu, tanpa diketahuinya, adalah orang kaya. Sehingga, kejadian itu lagi-lagi menjadi perbincangan khalayak ramai, lalu sampai juga kepada lelaki yang bersedekah itu. Mendengar khabar yang demikian, lelaki itu pun bergumam,Ya Allah! Segala puji hanya bagi-Mu. Ternyata, sedekahku itu jatuh ke tangan orang kaya. Kerana itu, aku akan bersedekah lagi!
Maka, dia kemudian, dengan cermat, mencari seseorang yang menurutnya layak menerima sedekah. Ternyata, penerima sedekah yang ketiga, tanpa diketahui-nya, adalah seorang pencuri. Tak lama berselang, kejadian itu menjadi perbincangan khalayak ramai, dan khabar itu sampai kepada lelaki yang bersedekah itu. Mendengar khabar demikian, lelaki itu pun mengeluh, Ya Allah! Segala puji hanya bagi-Mu! Ya Allah, sedekahku ternyata jatuh ke tangan orang-orang yang tak kuduga: pezina, orang kaya, dan pencuri!
Lelaki itu kemudian didatangi (malaikat utusan Allah) yang berkata, Sedekahmu telah diterima Allah. Boleh jadi pezina itu akan berhenti berzina kerana menerima sedekah itu. Dan boleh jadi pula orang kaya itu mendapat pelajaran kerana sedekah itu, lalu dia menyedekahkan sebahagian rezeki yang dikurniakan Allah kepadanya. Dan, boleh jadi pencuri itu berhenti mencuri selepas menerima sedekah itu.
(Diceritakan kembali dari sebuah hadis yang dituturkan oleh Muslim dan Abu Hurairah dalam Teladan indah Rasullulah dalam ibadah, Ahmad Rofi Usmani)
Daripada kisah tadi dapatlah ana simpulkan bahawa, apa jua pemberian ataupun sedekah kita kepada orang lain, biarpun bukan kepada orang yang tak sepatutnya kita beri, amalan itu akan diterima Allah. Oleh itu biarlah niat kita memberi atau bersedakah itu ikhlas hanya semata-mata kepada Allah. Jadi boleh lah juga ana katakan bahawa tidak akan wujudlah perasaan memberi kepada yang salah alamat ataupun boleh juga ana kaitkan degan istilah memberi pada yang tak menghargai. Biarpun pemberian kita itu tidak dihargai oleh orang yang menerimanya, tetapkanlah niat kita ikhlas hanya kepada Allah, insyaAllah Allah akan membalasnya nanti.
Wallah hu'alam.

Terima kasih kerana sudi berkunjung dan meninggalkan komen-komen, diharapkan komen-komen dan kesudian saudara/i meluangkan masa dapat kita manfaat utuk tujuan dakwah. Saya Muhammad Syukri berbesar hati menerima sebarang komen dan kritikan bagi penambah baikan dalam memberbaiki mutu penulisan saya di blog Rintihan Seorang Hamba ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2011 @ Rintihan Seorang Hamba!
Setiap artikel yang tersiar di sini dihasilkan untuk tujuan dakwah dan bersifat semasa. Powered by Blogger.
Design by Muhammad Syukri | Bloggerized by Rintihan Seorang Hamba | Powered by Blogger
;