Thursday, July 2, 2009

Memoir 2 Tanah Haram (2)

Merentas Saujana Kontang Dan Bahangnya Bumi Padang Pasir

Kedengaran pengumuman di dalam pesawat yang kami naiki, hampir kesemua para penumpangnya terjaga oleh pengumuman tadi berkenaan pesawat akan bersedia untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah, suasana yang sebelumnya senyap sunyi kerana para penumpang yang lain nyenyak tidur semasa penerbangan kini bertukar sedikit riuh. Kami diberitahu oleh ketua pramugari yang bertugas bahawa pesawat akan mendarat dalam 10 minit lagi, setiap penumpang diarahkan memakai tali pinggang yang disediakan, namun pengumuman yang dibuat pramugari tadi kurang jelas, pengumuman yang dibuat adalah dalam bahasa inggeris tetapi pramugari yang membuat pengumuman itu kurang fasih berbahasa inggeris membuatkan ana rasa hendak ketawa pun ada, tetapi bila difikirkan ana pun bukan lah fasih sangat berbahasa inggeris, jadi ana hanya tergelak kecil dalam hati.

Tempat duduk ana betul-betul ditengah pesawat, ana yang menemankan tok disebelah kiri dan ayah disebelah kanan, ana cuba hendak melihat keluar tingkap, namun tiada apa pun yang ana dapat lihat kerana suasana di luar pesawat gelap gelita, mungkin malam agaknya, fikir ana. Apa yang menakutkan ana semasa di dalam pesawat ialah semasa mendarat dan semasa hendak berlepas. Ketika itu lah muka ana perasaan ana akan tidak senang dan pemikiran ana akan mula berfikir benda-benda negatif.

Selepas seketika, Alhamdulillah kami selamat mendarat akhirnya. Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah tidak seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Bagladesh dan KLIA. Selepas turun dari pesawat kami terpaksa menaiki shuttle atau bas yang sedang menuggu untuk ke terminal utama, tidak seperti KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bangladesh kerana pesawat tidak berhenti terus di terminal, jika pesawat berhenti terus di terminal, tambahan lagi semasa di KLIA kami terpaksa naik Aero Train untuk ke terminal satu lagi sahaja, tetapi kami dikira masih berada di dalam terminal tidak seperti di Jeddah.

Kami dibawa ke terminal utama dengan shuttle tadi, sampai sahaja di terminal kami dibawa Ustaz Fahmi selaku ketua rombongan ke kaunter pemeriksaan passport. Tiba-tiba ana terpikir jam berapa agaknya ketika itu, jadi ana pun mula mencari jam dinding atau papan monitor elektronik berlepas, akhirnya jumpa betul-betul di atas kaunter pemeriksaan passport sahaja rupanya. Jam pada papan monitor elektronik itu menunjukkan tepat pukul 3.45 pagi, jadi ana jangka kami sampai di Jeddah tepat pukul 3.30 pagi waktu Jeddah.

Kaunter pada ketika itu hanya tiga sahaja yang dibuka, menyebabkan rombongan kami terpaksa berbaris panjang menunggu giliran. Boleh dikatakan bukan rombongan kami sahaja dari Malaysia, semasa dalam pesawat lagi boleh dikatakan ada 3 atau 4 rombongan yang juga dari Malaysia tetapi dari agensi yang lain. Kami dari Agensi Al-Nile Tour And Travel yang berpusat di Alor Setar sahaja boleh dikatakan mempunyai 3 rombongan, tetapi 1 rombongan telah bertolak awal pada 29 Mei lagi kerana mereka menziarahi Mesir terlebih dahulu, 2 rombongan lagi bergerak pada hari yang sama tetapi dari dua tempat yang berlainan, kami dari Sekolah Tahfiz STAIL dan 1 lagi bergerak dari Sungai Bakap. Ana baru mula menyedari rombongan lain semasa di Jeddah. Jadi rombongan kami merupakan rombongan terakhir untuk pemeriksaan passport.

Setelah setengah jam menunggu, kedengaran azan dikumandangkan dari corong-corong pembesar suara di dalam terminal, dengan berkumandangnya azan tadi menandakan masuknya waktu subuh. Waktu subuh disini ialah tepat jam 4.30 pagi, awal berbanding di Malaysia, di Malaysia yang paling awal pun kalau tak silap ana ialah pukul 5.30 pagi. Selepas berkumandangnya azan subuh tadi kaunter yang dibuka 3 tadi kini menjadi 2 kerana salah seorang pengawal yang menjaga kaunter itu pantas bagun dari tempat duduknya lalu terus pergi untuk menunaikakan solat meninggalkan seorang mak cik yang terkapai-kapai kebingungan kerana ditinggalkan sebegitu sahaja.

Dengan keadaan orang berbaris panjang itu, ana tinggalkan barang-barang terlebih dahulu pada ibu dan adik untuk pergi mengikut bapa sedara ana yang lebih senang dipanggil pak lang dan ayah untuk ke bilik air tuk mengambil wudhuk. Selesai mengambil wudhuk kami pun pergi ke satu penjuru didalam terminal di sisi kaki lima jalan terminal dan menghamparkan sehelai kain pelekat untuk bersolat. Kami bersolat subuh di kaki lima terminal dengan beberapa ahli jemaah yang lain. Selesai solat tiba giliran ana pula untuk menjaga barang-barang untuk memberikan laluan kepada ibu, adik dan tok untuk mengerjakan solat pula. Sebaik sahaja ibu, adik dan tok selesai solat tiba giliran kami pula untuk pergi ke kaunter pemeriksaan passport.

Semasa sibuk hendak ke kaunter pemeriksaan, kelihatan seorang perempuan berumur dalam lebih kurang 20 ke 30-an tidak dapat melepasi pemeriksaan kerana tidak mempunyai mahram, perempuan itu dari jemaah kami juga, dia datang bersama ibunya, hairannya ibunya dapat lepas, tetapi dia pula yang tersangkut, sebelum pemeriksaan passport lagi Ustaz Fahmi telah berpesan supaya mahram berada duduk di belakang, rupanya dia meletakkan nama Ustaz Borhan sebagai mahramnya, tetapi Ustaz Borhan tidak mengetahuinya menyebabkannya terlebih dahulu keluar melepasi pemeriksaan. Pak Lang yang sudah melepasi pemeriksaan bergegas mencari Ustaz Borhan, namun tak jumpa juga. Tetapi Alhamdulillah perempuan itu lepas juga akhirnya selepas keluar melalui kaunter yang lain. Kerajaan Arab Saudi agak ketat sedikit berkenaan perempuan yang tidak mempunyai mahram untuk memasuki Negara mereka.

Selepas selesai pemeriksaan kami bergegas ke tempat memungut bagasi untuk memungut beg yang kami masuk ke dalam perut pesawat. Setelah selesai mengambil kesemua beg kami bergerak keluar dari terminal, kemudian beberapa orang arab tuba hendak memungut passport kami. Ana berasa hairan kenapa perlu mereka memungut passport kami. Bukan ana sahaja kebingungan malahan Ustaz Fahmi pun berasa hairan kenapa dikumpulkan passport kami. Ini membuatkan ana bertambah lebih bingung.

Kami pun keluar lah dari terminal, suasananya amat indah, ketika itu mentari baru mula hendak memancarkan sinarnya di hiasi dengan pohon-pohon tamar yang merendang di tambah pula dengan pemandangan lapang padang pasir yang luas terbentang. Beberapa minit berlalu tanpa kami sedari, terpukau dek pemandangan padang pasir pabila fajar mula meninggi, tiba-tiba datang Ustaz Fahmi memanggil kami untuk bergerak ke bas yang akan membawa kami ke Kota Suci Madinah. Semasa menuju ke bas, ayah tiba-tiba menegur ana,di depan sana ternampak sebuah binaan seperti payung-payung gergasi, “ tu lah tempat jemaah haji ketika mana abah sampai ke sini dulu” Ujar ayah ku. Rupanya binaan itu merupakan terminal haji ketika ayah ana menunaikan haji dulu.

Kemudian kami pun menaiki bas. Namun perasaan ana masih tidak tenteram keran kami belum dapat semula passport kami. Kemudian dating isteri kepad Ustaz Fahmi iaitu Ustazah Wardatul Iman, dia dating dengan keadaan cemas,” ada sapa-sapa tak yang tak bagi passport di terminal tadi?” tanyanya pada semua jemaah yang sudah mengambil tempat di dalam bas. “Masih tak cukup passport dengan saya lagi ini” ujarnya lagi. Kemudian dia turun semula dari bas untuk mencari passport yang masih tak cukup lagi tadi. Selepas beberapa minit dia naik semula ke dalam bas, wajahnya tersenyum kali ini, “Dah cukup dah passport, jangan risau” ujarnya dengan senyuman manis terukir diwajahnya. Rupa-rupanya passport kami terlepas kepada rombongan yang satu lagi.

Setelah selesai semuanya, bas pun mula bergerak menuju ke Kota Suci Madinah, pemandu yang membawa kami bukan lah warga tempatan, malah bas yang kami naiki juga bukanlah bas tempatan, pemandu dan bas yang kami naiki adalah dari Turki. Selang beberapa minit bas bergerak Ustaz Fahmi pun mula member sedikit taklimat dan tazkirah sepanjang perjalanan, sebelum itu doa menaiki kenderaan pun dibacakan oleh Ustaz Fahmi.

Sebelum bergerak lebih jauh menuju Madinah bas berhenti terlebih dahulu di sebuah stesen minyak di tepi lebuh raya seperti R&R, tetapi R&R mereka tidak lah sehebat R&R di Malaysia, stesen minyaknya juga nampak sangat using dan agak kotor. Jauh bezanya R&R mereka dengan R&R di Malaysia, R&R nya Nampak tidak begitu terurus. Selesai mengisi minyak, bas pun bergerak semula, di sepanjang perjalanan, di sisi-sisi jalan, kelihatan stesen minyak dan Taman Tema, boleh dikatakan setiap 1 kilometer dapat dilihat stesen minyak dan Taman Tema, Taman Temanya sunyi sahaja, mungkin beroperasi pada waktu malam agaknya.

Setelah bergerak jauh keluar dari Jeddah Taman Tema dan stesen minyak tidak lagi kelihatan seperti sebelumnya yang rapat-rapat. Apa yang ana mula sedari ialah jalan lebuh rayanya, jalannya lurus sahaja, jauhnya jarak penglihatan kita sejauh saujana mata memandang. Apa yang dapat di lihat di kiri dan kanan jalan ialah pepasir dan batu-batuan serta gunung-gunung serta bukit-bukit batu-batan. Itu sahajalah yang dapat dilihat dari jendela bas, sudahlah jalannya yang lurus dan sekelilingnya tandus menguning. Bosan juga kalau ana sendiri yang memandu bas ini, terlintas di minda. Ana pun tidak selepas itu mula memejamkan mata kerana tidak dapat melihat sesuatu yang menarik, hanya pepasir dan batu-batuan sahaja.

Selepas lebih kurang 2 jam perjalanan dari Jeddah kami pun berhenti di salah sebuah perhentian di tengah-tengah padang pasir untuk menjamah sarapan pagi. Kami makan di sebuah restoran yang ada di situ. Masuk sahaja rombongan jemaah kami, ana terdengar “Nasi ayam ada, sila masuk” ujar salah seorang pekerja restoran itu. Orang arab boleh berbahasa melayu, terkejut ana di buatnya, tetapi itu sahaja lah yang boleh dia tuturkan dalam bahasa melayu, kalau di ajak bersembang, tercengang-cengang juga rasanya. Pagi itu kami makan nasi ayam masakan ala arab, sepinggan nasi berharga 15 riyal, mahal harganya, tetapi sepinggan nasi itu boleh dimakan oleh 3 orang kita kerana nasinya banyak dan ayam yang di beri ialah setengah ayam, agak banyak, itu pun ana sekeluarga berenam kenyang dibuatnya.

Tepat jam 11.00 pagi kami pun mula memasuki Kota Suci Madinah Al-Munawwarah, ana pun bacakanlah doa memasuki Kota Suci Madinah. Keadaan sekeliling Kota Madinah agak berbeza berbanding sepanjang perjalanan kami dari Jeddah, keadaannya sedikit subur, dikelilingi tanaman pohon tamar disepanjang sisi jalan, Kota Madinah juga dihiasi dengan landskap yang menghijau. Selepas 20 minit perjalanan kami pun tiba di sebuah baggunan yang ketinggiannya mencecah 10 ke 11 tingkat. Kami diberitahu oleh Ustaz Fahmi itu lah tempat penginapan kami di Madinah. Terdapat 3 buah hotel dalam banggunan itu, hotel kami adalah disebelah paling kiri, hotel itu dinamakan Hotel Wasel Palace.

Sebaik sahaja ana keluar dari bas, ana dapat nampak Masjid Nabawi tidak jauh dari penginapan kami, Masjid Nabawi begitu hampir, tempat kami hanya dipisahkan oleh Masjid Saidina Ali dan sebuah banggunan yang masih dalam pembinaan. Kami memindahkan barang keluar dari bas secepat mungkin kerana bas tidak boleh berhenti lama di situ kerana khuatir di saman. Selesai saja memindahkan barang keluar dari bas, kami pun duduk di lobby hotel sementara menunggu untuk mendapatkan kunci bilik. Kami dimaklumkan bahawa hotel itu hanya mempunyai bilik untuk 2 orang, 3 orang dan 4 orang sahaja, tetapi ana sekeluarga 6 orang bagaimana dan kami juga dimaklumkan bahawa kami akan dapat masuk kebilik setelah selesai solat Jumaat.

Selepas beberapa minit berehat sebentar ana, pak lang dan ayah bersiap-siap untuk pergi solat Jumaat, pada mulanya kami menjangkakan tidak sempat untuk bersolat Jumaat di Masjid Nabawi, bertuahnya kami sempat sampai awal. Tarikh 5 haribulan Jun merupakan hari Jumaat, kebanyakkan penduduk Madinah akan tertumpu kepada Masjid Nabawi untuk menunaikan solat Jumaat. Jadi ana, ayah dan pak lang bersegera ke Masjid Nabawi terlebih dahulu bagi mendapatkan tempat, namun masjid sudah mula dilimpahi dengan ribuan manusia. Alhamdulillah kami masih boleh masuk ke dalam banggunan masjid, ketika itu perkarangan masjid masih belum ramai orang.

Azan pertama pun berkumandang, teringat ana pada azan di dalam kaca television di rumah yang mengumandangkan azan Madinah, kali ini ana dapat dengar secara langsung, sama sahaja alunannya, ana rasa bersyukur yang tak terhingga kerana ini merupakan kali pertama ana menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi dan kerana di pilih untuk sampai ke sini. Selang beberapa minit azan kedua pun dikumandangkan dan khutbah pun di sampaikan, namun tak satu isi khutbah itu pun yang ana fahami kerana semuanya disampaikan dalam bahasa arab, pak lang di sebelah kanan yang sedikit memahami khutbah itu mengangguk-angguk tanda paham. Pak lang merupakan seorang ustaz di Sekolah Kampung Selamat juga merangkap penolong kanan di sekolah itu, dia juga merupakan pendakwah bebas yang sering memberi ceramah-ceramah di masjid. Rugi rasanya ana tidak dapat memahami langsung isi khutbah pada hari itu, “mengapa lah aku tak belajar bahasa arab betul-betul dulu” tiba-tiba bermain di fikiran ana. Selesai sahaja khutbah, kami pun bersolat Jumaat berjamaah.

Setelah selesai solat kami pun pulang ke hotel, kami di beritahu untuk makan tengahari di tingkat bawah hotel terlebih dahulu kerana bilik belum sedia. Jadi ana, pak lang dan ayah turun ke babawah hotel untuk menjamu selera. Semasa makan ana berkesempatan mengenali seorang sahabat bernama Adli, merupakan seorang pelajar yang baru menghabiskan STPM, dia merupakan anak ke 3 dari 4 orang adik beradik, dia dating bersama dengan keluarganya seramai 8 orang termasuk adik bongsunya, ibu, ayah bersama 4 orang lagi iaitu tok serta tok saudaranya. Ini juga merupakan pengalaman pertamanya ke sini.

Selepas makan, kami pun naik semula ke lobby untuk mengambil kunci bilik kerana bilik telah pun sedia untuk dimasuki. Alhamdulillah kami dapat bilik suite yang didalamnya mempunyai 2 bilik untuk 3 orang. Ana, pak lang dan tok duduk sebilik, manakala adik, ayah dan ibu duduk sebilik lagi, bilik kami hanya dipisahkan oleh dinding sahaja dan 2 pintu, pintu masuk utamanya memang tidak boleh dikunci. Sebelum itu kami langsung tidak dapat membuka pintu utama, jadi ana terpaksa turun semula bagi mendapatkan bantuan dari pihak hotel. Kemudian barulah boleh dibuka. 2 bilik kami hanya mempunyai satu bilik air, kedua-dua bilik kami terpaksa berkongsi bilik air. Kami pun berehat sebentar setelah kekenyangan.

Tepat jam 3.45 kami sekeluarga mula bergegas ke masjid awal sedikit untuk menunggu masuknya azan asar. Jam 4.00 petang tepat azan asar pun berkumandang, keadaan kali ini tidak lak sesesak solat Jumaat tadi. Selesai solat asar ana, pak lang dan ayah pergi menjenguk makam Nabi kita, Nabi Muhammad S.A.W. Kali pertama ana sampai di hadapan makam Rasulullah, walaupun keadaan yang bersesak-sesak, mata ana mula berkaca ingin menitiskan air mata, ana tahan juga, namun menitis juga sedikit berderai di pipi. Tidak tertahan rasanya mata ini untuk menahan rasa pilunya mengenangkan pengorbanan baginda Nabi Muhammad S.A.W. Pengawal yang bertugas tidak membenarkan kami menghapiri pagar makam nabi, ramai orang yang entah kenapa sanggup meyentuh dan mencium pagar makam nabi, sedangkan nabi tidak pernah menyuruh berbuat demikian, itu semua merupakan perkara bidaah semata-semata. Oleh kerana itulah pengawal keselamatan di tempatkan di situ. Dalam pemerhatian ana, ada juga yang berdoa menghadap makam nabi, namun tidak ada hadith atau dalil yang sahih pun menyatakan supaya berdoa menghadap makam nabi, ini dapat menimbulkan syirik, kerana berdoa seharusnya mengahadap kiblat, ini seolah-olah dilihat sebagai suatu pemujaan. Ada juga pengawal yang memarahi orang yang berdoa menghadap makam nabi, “syirik” katanya.

Selepas memberi salam dan menyampaikan salam dari sahabat di Malaysia, kami pun keluar dari Raudhah dan bergegas pulang ke hotel kerana selepas ini akan ada aktiviti tour mengelilingi Masjid Nabawi. Tepat jam 5.30 petang semua ahli jemaah berkumpul di lobby hotel untuk bergerak sekali ke Masjid Nabawi sementara menuggu salah seorang pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Universiti Madinah, dia akan membawa kami mengelilingi Masjid Nabawi sambil memberi sedikit penerangan berkaitan sejarah pembinaan Masjid Nabawi dari mula sehinggalah pembinaannya sekarang yang tersergam indah. (Berkenaan Masjid Nabawi ini insyaAllah ana akan cuba ceritakan dalam post yang lain)

Selesai sahaja mengelilingi masjid, jam pun sudah menunjukkan pukul 6.00 lebih hampir dengan hendak masukknya waktu solat fardhu maghrib. Jadi kami mengambil keputusan untuk tinggal terus di masjid untuk menuggu masuknya waktu solat fardhu maghrib. Suasana di waktu senja sedikit dingin berbanding tengaharinya yang membahang di tambah dengan iklim yang panas dan kering, tidak seperti di Malaysia yang beriklim panas dan lembap. Beberapa minit selepas itu, azan maghrib pun kedengaran di segenap pelusok masjid. Selesai sahaja azan ana bingkas bagun untuk mengerjakan solat sunat qobliah maghrib. Jarak masa antara azan dan iqomah ialah lebih kurang 30 minit bagi setiap waktu bagi memboleh setiap orang sempat dating solat berjemaah di masjid. Selesai solat maghrib bilal bingkas menyeru untuk sekelian makmum bagun untuk solat jenazah, boleh dikatakan setiap waktu akan ad solat jenazah, selepas solat Jumaat dan solat asar tadi pun ada solat jenazah.

Selesai solat jenazah, ana terus menunaikan solat bag’diah maghrib. Selepas itu ana duduk dan membaca Al-Quran sehinggalah masuknya waktu isyak. Selepas solat isyak ana pun pulang ke hotel dan terus ke ruang makan di tingkat bawah hotel untuk makan malam. Makanan kami dimasak oleh seorang Indonesia yang bermastautin di Madinah. Masakannya ala masakan Malaysia. Setelah selesai makan kami pun naik ke bilik untuk berehat.

Sampai sahaja di bilik ana bercadang untuk mandi kerana sudah seharian suntuk tidak mandi. Lalu ana mencapai tuala di beg, terus masuk ke dalam bilik mandi. Selesai mandi, baru lah badan ana berasa segar kembali. Kemudian ana terus ke katil untuk merehatkan badan. Tanpa ana sedar ana telah pun tertidur, tidak sampai seminit meletakkan badan sahaja, mungkin kerana terlalu keletihan.

Terima kasih kerana sudi berkunjung dan meninggalkan komen-komen, diharapkan komen-komen dan kesudian saudara/i meluangkan masa dapat kita manfaat utuk tujuan dakwah. Saya Muhammad Syukri berbesar hati menerima sebarang komen dan kritikan bagi penambah baikan dalam memberbaiki mutu penulisan saya di blog Rintihan Seorang Hamba ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2011 @ Rintihan Seorang Hamba!
Setiap artikel yang tersiar di sini dihasilkan untuk tujuan dakwah dan bersifat semasa. Powered by Blogger.
Design by Muhammad Syukri | Bloggerized by Rintihan Seorang Hamba | Powered by Blogger
;