Thursday, July 2, 2009

Memoir 2 Tanah Haram (1)

Rentasan Pertama Keluar Dari Malaysia

Tanggal 4 Jun 2009, pukul 4.00 pagi ana dikejutkan oleh ibu, suasana ketika itu kelam dengan suasana gelap awal pagi waktu Malaysia, ketika mana kebanyakkan para penduduk Malaysia masih nyeyak diulit mimpi-mimpi indah. Tetapi pada ketika itu ana terpaksa bagun untuk menyiapkan diri. Hari itu merupakan suatu hari yang bersejarah bagi diri ana, buat pertama kalinya ana akan menjejakkan kaki ke 2 tanah haram, hanya 2 tempat ini sahaja yang dikenali sebagai tanah haram iaitu Kota Suci Makkah al-Mukarramah dan Kota Suci Madinnah al-Munawarah. Ana amat bersyukur kerana tergolong dikalangan yang terpilih oleh Allah untuk mengerjakan ibadat umrah di rumahNya di baitul atiq(baitullah).

Pagi itu suasana amat sunyi, di tambah pula dengan perasaan yang masih merasakan diri kurang bersedia untuk pergi mengerjakan seruanNya. Berbagai persoalan dan perasaan menyelubungi diri semenjak mengetahui bahawa ana akan pergi mengerjakan seruanNya.

Umrah ialah mengunjungi Baitullah di Makkah dan melakukan ihram, tawaf, sa’i dan bertahallul mengikut tertib.Mengikut pendapat al-Imam as-Syafie bahawa umrah adalah fardhu seperti haji. Ijmak Ulama mengatakan bahawa hanya wajib dilakukan sekali sepanjang hayat bagi orang yang mampu kecuali orang yang bernazar, maka dia wajib memenuhi nazarnya.

Pendapat ini adalah berdasarkan dalil al-Quran:

“Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah “(Al-Baqarah 196).

Dan Sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Al-Baihaqi dan sanad yang sahih daripada Aisyah r.a. katanya:

Aku berkata : “Wahai Rasullah,apakah wanita wajib berjihad?”. Sabda Baginda: “Ya, jihad yang tiada peperangan padanya iaitu haji dan umrah”.

Itulah serba sedikit tentang ibadah umrah yang ana tahu. Perasaan kosong dan tidak bersedia ini lah yang membuatkan ana berasa sedikit takut untuk pergi memenuhi seruanNya. Tetapi dengan berbekalkan semangat yang ada, ana beranikan diri.

Setelah selesai mandi dan bersiap-siap, jam pada ketika itu telah menunjukkan tepat pukul 4.30 pagi, begitu pantas masa berlalu tanpa ana sedari. Ana, adik, ayah dan ibu pun lantas meluncur laju dengan kereta CRV ayah untuk balik ke kampung terlebih dahulu, kami telah berjanji dengan tok dan bapa sedara ana untuk berkumpul terlebih dahulu di kampung sebelum berangkat ke tempat berkumpul semua jemaah umrah yang lain. Suasana di kampong ketika itu agak berbeza sekali, apa yang tak berbezanya, biasanya ketika itu biasanya sepupuku di kampong masih tidur, tetapi ketika kami sampai semuanya sudah terjaga hanya menunggu ketibaan kami sahaja.Setelah sejam berlalu, jam pun menunjukkan 5.30 pagi, kami pun bertolak ke tempat berkumpulnya semua jemaah umrah yang lain iaitu di Sekolah Tahfiz STAIL di kampong Tok Bedu tidak jauh dari kampong ana.

Setibanya kami disana, perkarangan sekolah telah mula dipenuhi dengan kenderaan-kenderaan para jemaah, sama ada kenderaan jemaah sendiri mahupun kenderaan ahli keluarga jemaah yang lain. Perkarangan Sekolah Tahfiz STAIL tidak lah sebesar mana, hanya jalan taman kecil sahaja. Sekolah Tahfiz STAIL ini terletak di sebuah taman kecil yang memuatkan antara 15 ke 20 buah rumah sahaja, jadi jalannya pun tidak lah sebesar mana ditambah pula dengan kenderaan jemaah lain yang meletakkan kereta mereka disisi-sisi jalan. Baru sahaja ayah memandu masuk ke tempat parking di sisi jalan, suara azan pun berkumandang, menandakan masuknya waktu solat fardhu subuh. Kami terus bergegas ke ruang solat sekolah untuk solat berjemaah sebelum berangkat ke KLIA.

Setelah selesai solat subuh, kami diberikan sedikit taklimat berkenaan perjalanan pada hari itu, kami diberitahu bahawa kami akan dijangka tiba di KLIA sebelum jam 3.00 petang, jam 3.00 petang kami akan mula “check in” penerbangan dan jam 6.00 petang kami akan menaiki penerbangan ke Dacca, Bangladesh untuk transit sekejap sebelum tiba di Jeddah. Setelah selesai taklimat kami diminta untuk mengambil makanan yang telah dibungkus pihak sekolah untuk semua para jemaah dan terus menaiki bas. Semasa di dalam bas tidak banyak yang ana dapat ceritakan.

Sebelum sampai ke KLIA kami sempat berhenti di 2 tempat perhentian R&R, yang pertamanya di Sungai Perak, di sini kami berhenti untuk menjamah makan sarapan pagi yang telah disediakan pihak sekolah tadi. Kami dihidangkan dengan bungkusan nasi lemak rupanya, ana lihat tok tidak berapa berselera makan, mungkin kerana terlalu rungsing dengan berbagai perkara yang bermain-main dipikirannya mungkin terlalu memikirkan cucunya yang masih peliharanya di rumah. Adik bongsu ibu ana tinggal sebumbung dengan tok, jadi anak-anaknya di jaga oleh tok sementara ibu dan ayahnya bekerja. Setahu ana, Mak Su ibu saudara ana, merangkap menantu tok ana mengambil cuti panjang untuk menjaga anak-anaknya dirumah selama kami pergi menunaikan umrah. Mungkin inilah yang dikatakan naluri seorang ibu, mahupun bukan anaknya tetapi cucunya pun dia masih berfikir panjang untuk meninggalkan mereka.

Setelah bersarapan kami pun mula bertolak menuju Ke KLIA, namun berhenti pula di Dengkil untuk makan tengahari, kami berhenti makan di sini kerana khuatir makanan di KLIA terlalu mahal. Jadi di Dengkil kami berhenti makan terlebih dahulu. Semasa di Dengkil kami menjamah Sate Kajang Hj Samuri namun ana lihat tok masih tidak lalu makan, entah apa yang bermain di pikirannya kali ini. Selesai makan jam pun telah menunjukkan pukul 1.45 tengahari. Kami mengambil masa yang masih ada sebelum menuju ke KLIA untuk solat jama’ taqdim terlebih dahulu.

Setelah selasai solat kami pun bertolak dan sampai di KLIA tepat jam 2.30 petang. Kami terus dibawa oleh ketua rombongan Ustaz Fahmi ke kaunter bagasi untuk memasukkan beg-beg besar ke dalam kargo. Setelah selesai kami menguruskan urusan beg-beg kami diberitakan bahawa penerbangan kami ke dacca ditangguhkan selama sejam lewat dari yang sepatutnya. Penerbangan kami sepatutnya jam 6.00 petang tetapi ditangguhkan ke jam 7.00 malam, ditangguhkan atas sebab apa?, ana sendiri pun tidak tahu. Kami terpaksa menunggu di terminal selama 4 jam, semasa menunggu banyak gelagat jemaah lain yang dapat ana lihat.

Tepat jam 7.00 mlm, kami pun mula menaiki penerbangan ke Dacca dengan kapal terbang syarikat penerbangan Bangladesh iaitu BIMAN atau Bangladesh Airlines. Semasa dalam penerbangan kami dijamukan dengan makanan ala Bangladesh. Oleh kerana ana sangat lapar, makanan yang disediakan tadi dapat ana habiskan, Alhamdulillah kenyang rasanya.

Setelah 4 jam rasanya dalam penerbangan kami pun tiba di Dacca tepat jam 9.30 waktu Bangladesh. Kami berhenti di Dacca hanya sekadar untuk transit sementara menyambung penerbangan ke Jeddah yang di jadualkan jam 11.00 malam waktu Bangladesh. Di Dacca kami sempat solat jama’ ta’akhir, semasa hendak mengambil wudhuk, ana bertemu dengan penduduk di situ yang juga ingin pergi menunaikan umrah, kami sempat berbual sebentar sementara kami menunggu giliran untuk mengambil wudhuk.

Dialah yang mula-mula menyapa ana, dia menanyakan dalam bahasa inggeris “ from Malaysia”, jadi ana pun menjawab “yes”. Dia menyapa lagi, kali ini dia menanyakan hendak ke mana, jadi ana pun menjawab, “I am going for umrah”, dia pun tersenyum dan berkata “I am too”. Perbualan kami hanya terhenti disitu kerana ana terlebih dahulu pergi ke pancuran untuk mengambil wudhuk kerana orang masih panjang beratur dibelakang ana. Selesai mengambil wudhuk ana terus ke ruang solat yang telah disediakan tidak jauh dari bilik air tadi. Ana terpaksa solat bersendirian kerana yang lain telah pun selesai solat. Ana agak lewat kerana terpaksa menjaga beg-beg kami sekeluarga terlebih dahulu sementara keluarga ana yang lain pergi solat.

Setelah selesai solat ana terus menuju ke tempat berkumpul keluarga ana. Tepat 11.00 malam pengumuman untuk penerbangan ke Jeddah pun kedengaran di corong-corong pembesar suara di dalam terminal. Kami pun bergegas pergi ke pintu yang telah ditetapkan. Sebelum melepasi pintu tempat menunggu kami diperiksa sekali lagi dengan pengimbas elektronik, ini merupakan suatu prosedur biasa di lapangan terbang kerana ingin memastikan keselamatan para penumbang ketika didalam penerbangan. Segala jenis besi akan dikesan menyebabkan pengimbas tadi membunyikan isyarat buzzer menandakan ada sesuatu berunsur besi pada badan kita. Setiap kali ana melalui pengimbas elektronik, buzzer akan berbunyi kerana tali pinggang ana ada unsur besi. Polis keselamatan yang bertugas disitu akan membuat pemeriksaan sekali lagi ke atas badan kita, Alhamdulillah ana lepas.

Tepat jam 11.30 malam waktu Bangladesh kami pun menaiki pesawat BIMAN juga tetapi pesawat yang lain ke Jeddah. Pesawat ini lebih besar sedikit dari yang pesawat yang kami naiki dari KLIA, pesawat ini menempatkan lima tempat duduk di kawasan tengah berbanding pesawat dari KLIA yang hanya boleh menempat empat tempat duduk sahaja, tetapi pesawat ini agak sempit. Selang beberapa jam selepas penerbangan kami dijamukan sekali lagi dengan makanan masakan Bangladesh, masakannya sedap, cuma apa yang menyebabkan ana kurang berminat dengan masakannya ialah daun digunakan di dalam masakannya yang berbau seperti kumbang membuatkan ana hilang selera makan. Tetapi kali ini habis juga nasi yang diberikan, ia masakan yang sama disediakan semasa penerbangan dari KLIA sebelum sampai ke Dacca.

Selang 2 jam selepas itu kami dijamukan pula dengan sarapan pagi sebelum sampai ke Jeddah. Sarapan paginya hanya mudah kek 2 potong dan roti sandwich serta air panas. Sepanjang penerbangan apa yang ana buat hanyalah tidur dan makan sahaja, tiada aktiviti yang dapat ana buat.

Terima kasih kerana sudi berkunjung dan meninggalkan komen-komen, diharapkan komen-komen dan kesudian saudara/i meluangkan masa dapat kita manfaat utuk tujuan dakwah. Saya Muhammad Syukri berbesar hati menerima sebarang komen dan kritikan bagi penambah baikan dalam memberbaiki mutu penulisan saya di blog Rintihan Seorang Hamba ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2011 @ Rintihan Seorang Hamba!
Setiap artikel yang tersiar di sini dihasilkan untuk tujuan dakwah dan bersifat semasa. Powered by Blogger.
Design by Muhammad Syukri | Bloggerized by Rintihan Seorang Hamba | Powered by Blogger
;