Wednesday, November 25, 2009

Mad'u Cari Da'ie Atau Sebaliknya

Alhamdulillah, syukur sekali lagi diluangkan masa dan di buahkan idea oleh Allah untuk mencoret setinta kata pada dada blog ana ini yang agak lama juga sunyi dengan buah fikiran. Ana terpanggil untuk mencoret sesuatu yang ana rasa ada rasionalnya jika ana kongsikan dengan saudara/i, sahabat/i yang menjengah ruang blog ana ini, bagi sama-sama kita lihat konteks situasi sekarang ini.

Setelah secara zahirnya kita ditiupkan roh oleh Allah utk hidup dimuka bumi ini. Kita sebagai manusia mempunyai suatu sifat yang kuat dalam diri kita iaitu sifat ingin tahu. Sifat ingin tahu inilah juga boleh dikatakan sebagai ilmu pengetahuan. Pada umur awalnya kita disuap dengan pelbagai ilmu pengetahuan melalui pengalaman dan juga suapan dari masyarakat disekeliling kita.Sebabnya, banyak sekali sisi-sisi kehidupan yang menjadi pertanyaan dalam diri kita.

Namun disini bukanlah ana ingin membicarakan mengenai ilmu, tetapi apa yang ana ingin ketengahkan ialah konteks isu semasa yang ana perhatikan dari kaca mata ana. Untuk lebih jelas, ana sebenarnya ingin membicarakan mengenai suatu situasi dimana guru ( duat ) mencari pelajar ( mad'u ) atau sepatutnya pelajar ( mad'u ) mencari guru ( duat ).

Guru ( Duat ) Mencari Pelajar ( Mad'u )

Dalam konteks yang bagaimana duat perlu mencari mad'u nya? Persoalan ini ingin ana lontarkan kepada kepemimpinan masyarakat mahupun masyarakat yang ana kategorikan sebagai faham. Bagi ana sebagai masyarakat yang sedar, paham dan mempunyai ilmu atau juga seoarang da'ie, mereka perlu sedar bahawa dibahu mereka sebenarnya tertanggung satu beban yang diamanahkan dan diberi kepercayaan kepada mereka untuk melaksanakan tugas untuk menyeru manusia kepada Allah (ad-da’wah ila Allah) adalah kewajipan setiap muslim dan muslimat di setiap masa. Terutamanya di zaman kita ini, ia lebih wajib kerana umat Islam pada hari ini terdedah kepada serangan jahat musuh-musuh Allah yang bertujuan mencabut teras dakwah Islam dari jiwa umat Islam. Menyeru manusia kepada Allah adalah satu kemuliaan yang besar kepada pendukung dakwah. Firman Allah yang bermaksud:

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri.”
(Fushilat: 33)

Menyeru manusia kepada Allah menghasilkan pahala dan ganjaran yang besar dan tidak ternilai sebagaimana pengakuan Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Jika Allah memberi hidayah kepada seorang lelaki lantaran anda, itu lebih baik bagimu daripada setiap apa yang disinari matahari.”
(Riwayat at-Tabrani)

Menyeru manusia kepada Allah s.w.t dan kepada jalan yang benar, adalah sebaik-baik urusan dan amat perlu diketengahkan, terutama di zaman ini yang berkecamuk dengan pelbagai kefahaman dan ideology, trend semasa yang memperbodoh, menyesat dan menyelewengkan.

Menyeru manusia kepada Allah adalah salah satu peringkat (marhalah) yang penting dalam amal Islami yang dilakukan secara bersungguh-sungguh. Ia merupakan marhalah ta’arif (memperkenalkan), yang mendahului marhalah takwin (pembentukan).

Melalui pemerhatian ana terhadap masyarakat kita, kita akan mendapati bahawa kelemahan iman atau kelumpuhan iman di jiwa, adalah kerana tidak memahami hakikat Islam dengan sebenarnya dan serangan pemikiran adalah faktor utama yang menyebabkan masyarakat berada dalam suasana yang ada pada hari ini. Ia juga merupakan faktor utama yang membolehkan musuh-musuh Allah menjadikan sebahagian kaum muslim sebagai kuda tunggangan mereka untuk memerangi Islam; secara mereka sedari ataupun tidak.

Janganlah diharapkan kesedaran, tindakan, amal atau hasil yang baik untuk Islam daripada mereka ini, melainkan setelah iman dibangkitkan dari dalam jiwa mereka terlebih dahulu. Dengan itu iman akan mendorong mereka kepada mengenal Allah dan memahami Islam, beramal dan berjuang untuk Islam serta mempertingkatkan diri kepada martabat para ‘amilin yang salih.

Mungkin apa yang ana perkatakan diatas merupakan suatu konteks yang besar iaitu masyarakat, baik, kita perkecilkan kepada suasana kampus. Sebagai da'ie, perkara yang sama juga kita perlu lakukan bagi menarik lebih ramai mad'u untuk diberi kefahaman. Ana bercakap berdasarkan pemerhatian ana bahwa perlu ada tindakan dari dai'e tuk mencari mad'u kerana kebanyakkan mad'u yang baru ini sebenarnya sedang mencari identiti mereka yang sebenar. Masa yang paling ideal untuk para da'ie bertindak ialah ketika semester pertama lagi. Ini merupakan masa yang paling sesuai bagi memandu mad'u yang baru memahami perjuangan seorang mahasiswa dikampus, bukan hanya sebagai pelajar, menduduki peperiksaan atau ujian, akan tetapi juga sebagai mahasiswa yang bersama dalam perjuangan Islam.

Pelajar ( Mad'u ) Mencari Guru ( Da'ie )

Namun begitu, mad'u sebenarnya tidak terlepas begitu sahaja. Sebelum itu, setuju atau tidak jika ana katakan bahwa da'ie juga mad'u dan mad'u juga da'ie? Ana katakan demikian berdasarkan hadis dari nabi dimana :

"Sampaikanlah dariku walau satu ayat"


Maknanya disini, mad'u yang menerima suatu ilmu agama juga perlu menyampaikan apa yang dia pelajari. Maka disini mad'u tadi juga orang yang menyeru ataupun da'ie. Jadi setelah apa yang si mad'u itu peroleh, seharusnya dia perlu mencari kebenarannya. Melalui siapa? Tentulah melalui seoarang da'ie. Mad'u yang cintakan ilmu dan faham apa yang disampaikan dai'e ditambah pula dengan rahmat Allah, insyaAllah akan terus mencari, memperbaiki dan mengubah hidupnya supaya diredhai Allah.

Kesimpulan

Jadi disini jelas bahawa kedua-dua situasi ini perlu ada dalam suasana atau waqi' sebagai seorang dai'e mahupun mad'u, mad'u perlu mencari seorang dai'e dan dai'e juga perlu mencari mad'u. Ini kerana, kedua-duanya saling memerlukan bagi menghasilkan sebuah masyarakat yang faham, beramal dan berjuang untuk Islam keseluruhannya.

Wallahu a'lam.


Terima kasih kerana sudi berkunjung dan meninggalkan komen-komen, diharapkan komen-komen dan kesudian saudara/i meluangkan masa dapat kita manfaat utuk tujuan dakwah. Saya Muhammad Syukri berbesar hati menerima sebarang komen dan kritikan bagi penambah baikan dalam memberbaiki mutu penulisan saya di blog Rintihan Seorang Hamba ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2011 @ Rintihan Seorang Hamba!
Setiap artikel yang tersiar di sini dihasilkan untuk tujuan dakwah dan bersifat semasa. Powered by Blogger.
Design by Muhammad Syukri | Bloggerized by Rintihan Seorang Hamba | Powered by Blogger
;