Wednesday, May 26, 2010

Persaudaraan Yang Menggetarkan Musuh



Perang Qadisiah merupakan perang yang menyaksikan pertempuran sengit di antara angkatan perang Muslimin dan tentera Parsi yang lebih besar jumlahnya. Namun, di bawah pimpinan Saad bin Abi Waqas RA, tentera Muslimin berjaya memporak perandakan tentera Parsi.


Tentera Parsi didesak sehingga terpaksa melarikan diri ke Madain di seberang Sungai Tigris. Pada sangkaan mereka, tentera Muslimin tidak akan mampu menyeberang Sungai Tigris dalam keadaan arus ganas pada musim hujan lebat itu. Arusnya mampu menghanyutkan apa sahaja yang melewatinya

.

Namun, tentera Muslimin mengetahui bahawa alam semesta, sungai, lautan dan daratan adalah di bawah kekuasaan dan pengawasan Allah SWT. Saad bin Abi Waqas RA berseru, “Ayuh kejar musuh Allah, seberangi Sungai Tigris!”


Saad memerintahkan tentera Muslimin memperbanyak doa, “Hasbunallahu wani’mal waqil (Cukuplah Allah bagi kami, dan Dialah sebaik-baik Pemimpin)” Lalu kuda-kuda dipacu menerjuni Sungai Tigris sehingga tiada seorangpun dari pasukan tersebut yang tertinggal di belakang.


Maka dengan pertolongan Allah SWT, berjalanlah tentera Muslimin di atas air seperti di atas daratan (Wallahu a’lam bagaimana keadaannya yang sebenar. Tapi, dilaporkan begitu). Sungai Tigris ditutupi oleh tentera Muslimin bersama kuda-kuda mereka. Mereka bercakap-cakap antara satu sama lain seperti mana di atas daratan lantaran rasa aman yang dikurniakan Allah kepada mereka.


Dalam pada itu, tiba-tiba salah seorang tentera Muslimin berteriak, “Bekas air..! Bekas air..! Bekas airku jatuh!” Ternyata bekas minumnya jatuh ke dalam sungai dan dihanyutkan arus. Lantas pemimpin pasukan itu memerintahkan semua pasukan mencarinya sampai ketemu. Semuanya patuh! Maka, berputar-putarlah mereka di tengah sungai sambil mencari bekas air saudara mereka itu.


Rupa-rupanya, kelakuan tentera Muslimin itu diintip oleh mata-mata musuh yang diarahkan menyelidiki pergerakan tentera Muslimin. Setelah dilaporkan hasil intipan kepada pemimpin-pemimpin Parsi. Salah seorang daripada mereka mengeluh, “Kita tidak mungkin tidak akan mampu mengalahkan mereka! Bahkan tidak akan pernah ada yang dapat menundukkan mereka.”


“Mengapa?” yang lain saling tertanya-tanya. Jawab pemimpin tadi, “Lihatlah, baru bekas air saja yang hilang, seluruh pasukan merasa kehilangan. Bagaimana sekiranya satu dari mereka terbunuh? Semua mereka pasti tidak merelakannya. Tidak ada pasukan yang mampu mengalahkan pasukan dengan ikatan persaudaraan yang kuat sepertimana persaudaraan tentera Muslimin.”


Benar telahan mereka. Di Madain, Pasukan Parsi hanya sempat bernafas beberapa hembusan sahaja, kemudian putus oleh tebasan pedang-pedang tentera Muslimin.


Allah SWT mengurniakan kemenangan gilang-gemilang kepada pasukan Muslimin berkat persaudaraan mereka yang mengkagumkan.


Pesanan: Adakah persaudaraan Umat Islam hari ini menggetarkan musuh-musuh Allah? Fikir-fikirkan…

Rujukan: Teladan Tarbiyah, Bab Ukhuwah

Foto: Kredit kepada Ilham Naluri

Wallahu a’lam…

Terima kasih kerana sudi berkunjung dan meninggalkan komen-komen, diharapkan komen-komen dan kesudian saudara/i meluangkan masa dapat kita manfaat utuk tujuan dakwah. Saya Muhammad Syukri berbesar hati menerima sebarang komen dan kritikan bagi penambah baikan dalam memberbaiki mutu penulisan saya di blog Rintihan Seorang Hamba ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright 2011 @ Rintihan Seorang Hamba!
Setiap artikel yang tersiar di sini dihasilkan untuk tujuan dakwah dan bersifat semasa. Powered by Blogger.
Design by Muhammad Syukri | Bloggerized by Rintihan Seorang Hamba | Powered by Blogger
;